ISTIMEWA



 Nasional   

PRU13: Majoriti besar wakil rakyat PAS dikekalkan

pada 02-08-2012 06:08 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic


KUALA LUMPUR: Majoriti besar ahi Parlimen PAS yang menang empat tahun lalu akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli.

Bagaimanapun menurut beliau, terdapat juga sebilangan kecil ahli Parlimen parti Islam itu menyatakan hasrat untuk tidak bertanding kerana faktor kesihatan.

"(Ahli Parlimen) yang bertanding dan menang, adalah beberapa orang yang kita dengar berhasrat untuk berundur diri atas sebab-sebab kesihatan dan juga urusa lain.

"Pada pandangan saya kebanyakan ahli Parlimen yang dulu menang akan kembali bertanding," katanya kepada AntaraPos.

Pada pilihan raya umum ke-12, PAS bertanding di 66 kerusi Parlimen dan 232 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) (menang 83 kerusi)

Parti itu menang di 23 kerusi Parlimen, lebih kecil berbanding DAP dan PKR masing-masing bertanding di 47 dan 97 kerusi di mana DAP menang di 28 kawasan dan PKR pula 31 kerusi.

Pada PRU13, PAS pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan bertanding di 80 kerusi Parlimen termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Mohd Hatta, kemungkinan berlaku perubahan kerusi di beberapa kawasan di mana calon yang menang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibawa bertanding di peringkat pusat, begitu juga sebaliknya.

"Di samping itu kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa 'adjustment' di mana calon-calon yang dulu menang di DUN akan bertanding di Parlimen dan sebaliknya, Jadi ini adalah perkiraan bagi memastikan kemenangan kita.

"Saya tidak mahu menyebut di mana tetapi saya rasa Kelantan akan melakukan perubahan itu, kita juga mempunyai calon-calon yang dulu tidak menang bertanding di DUN atau Parlimen akan diubah sesuai untuk memastikan kedudukan terbaik," katanya.


Ruangan Komen