ISTIMEWA



 Nasional   

Politik Sabah: Anwar paksa Najib tangguh PRU13

pada 02-08-2012 02:08 

Post Pic

 

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk memaksa Perdana Menteri menangguhkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan menampilkan lebih banyak berita "mengejutkan" dari negeri Sabah.

Bercakap kepada pemberita, beliau memberitahu akan menyampaikan lebih banyak maklumat tentang perkembangan di Sabah yang disifatkan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat.

"Saya akan kembali semula ke Sabah pada 12 Ogos nanti, dan menjangkakan berita yang baik...kita perlu bersedia.

"Saja jangkakan ada perubahan. Kita akan buat Najib tangguhkan sikit pilihan raya," kata beliau pada sidang media sebentar tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru gagasan itu dalam cubaan menembusi negeri simpanan tetap Barisan Nasional (BN) dengan menarik keluar lebih ramai kepimpinan  parti untuk berjuang di bawah payung Pakatan Rakyat.

Ini susulan peletakan jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin diikuti bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Wilfred Bumburing yang dipercayai akan mempengaruhi ramai pengundi kaum Kadazan-Dusun.

"Bumburing adalah kuat berdasarkan sokongan kaum Kadazan-Dusun dan majoriti Kristian. Kalau mereka komited kita akan dapat lebih banyak kerusi," tambah beliau.

Kepimpinan BN negeri Sabah sebelum ini menjelaskan bahawa parti itu tidak berasa tergugat dengan keputusan keluar parti oleh dua pemimpin tertinggi negeri itu.

Menurut Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata peletakkan jawatan Bumburing dan Lajim sebaliknya akan memberi kesan kepada Pakatan Rakyat sendiri yang terpaksa berhadapan dengan tuntutan-tuntutan selepas memihak kepada pembangkang.

"Lajim, kata mereka, sudah tentu akan menuntut tampuk kepimpinan Pakatan Rakyat jika beliau mahu menjadi Ketua Menteri Sabah," dipetik dari laman Twitter Abdul Rahman.

Sementara itu, Anwar ditanya sekiranya beliau menggalakkan tindakan lompat parti sepertimana yang dilakukan oleh Bumburing dan Lajim, beliau bertegas bahawa keputusan itu terletak ditangan kedua-dua pemimpin.

"Saya tidak galakkan lompat parti tapi mereka datang kepada kami dan menyatakan tiada keyakinan terhadap pentadbiran Najib."

Justeru katanya, jika mana-mana individu yang berhasrat untuk lompat parti, maka Pakatan Rakyat sentiasa mengalu-alukan untuk menyertai gagasan itu.

"Mereka perlu bertanding di bawah banner Pakatan Rakyat sebagai parti komponen."

Sementara itu dalam perkembangan yang lain, Anwar berkata Pakatan Rakyat akan membawa isu tema Hari Kemerdekaan yang dicadangkan di empat negeri Pakatan Rakyat ke mesyuarat Majlis Tertinggi.

Namun jelasnya, Pakatan Rakyat sentiasa mengamalkan pintu terbuka sekiranya kerajaan bersedia untuk menukar tema Kemerdekaan 'Janji Ditepati' kepada tema lain.

"Tema Merdeka sepatutnya inklusif, bukan propaganda. Jadi saya tidak fikir ini (berbeza tema antara negeri PR) akan mendatangkan masalah.

"Kalau kerajaan mahu tukar (tema), kita bersedia menerima," kata beliau.


Ruangan Komen