ISTIMEWA



 Nasional   

Biayai kos guaman Rafizi, S'gor tidak konsisten - Cassa

pada 02-08-2012 03:08 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Post Pic

 

SHAH ALAM: Tindakan kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebahagian daripada wang RM5 juta Geran Selangorku untuk membiayai kos guaman Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang disabitkan di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia) 1989 dilihat tidak wajar.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Dr Jacob George sebaliknya menyarankan kerajaan negeri mewujudkan dana khas dengan tidak menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya untuk menyelamatkan individu yang berkepentingan dalam sesebuah parti.

"Pada saya jika kerajaan negeri Selangor hendak menolong Rafizi, mereka boleh membuat satu tabung bebas di mana di situ boleh tolong-menolong Rafizi.

"Mereka boleh galakkan sesiapa sahaja untuk memberi sedikit bantuan kepada Rafizi di situ," katanya kepada Antarapos.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Selangor sedia membiayai kos guaman Rafizi yang didakwa kerana mendedahkan tiga akaun berkaitan Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pengerusi Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail.

Khalid memperuntukkan sebahagian daripada wang RM5 juta Geran Selangorku.

Daripada jumlah wang itu, katanya hanya sepuluh peratus sahaja akan diperuntukkan untuk kegunaan tersebut.

Bagaimanapun kata Jacob tindakan kerajaan negeri itu dilihat bercanggah dengan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menguruskan dana kerajaan negeri sebaik-baiknya.

"Untuk kegunaan waktu ini, kerajaan negeri dengan menggunakan platform ketelusan dan kebertanggungjawaban, jadi apabila kerajaan menggunakan slogan itu, maka cakap perlu serupa bikin," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Rahman Dahlan pula menyifatkan tindakan kerajaan Selangor menawarkan pembiayaan guaman Rafizi sebagai gimik politik pembangkang yang mahukan publisiti dengan meraih simpati rakyat.

"Tindakan kerajaan negeri Selangor untuk memberikan pembiayaan adalah satu perkara yang tidak pernah kita lihat di mana-mana pun.

"Malah di pihak kerajaan Persekutuan pun dalam kes-kes yang melibatkan kerajaan, atau melibatkan individu sudah tentu duit kerajaan tidak boleh buat begitu, jadi kes Rafizi ini hanya gimik kerajaan negeri," katanya.

Rafizi dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau perlu memohon kepada kerajaan Selangor untuk mendapatkan bantuan tersebut yang diketegorikan di bawah peruntukan "memerangi rasuah" yang mana jumlahnya bernilai RM1 juta.

Jelas beliau terpulang kepada kerajaan negeri sekiranya permohonan beliau dapat dipertimbangkang.

"Maksud MB Khalid, ada peruntukan RM1 juta untuk perangi rasuah termasuk pemberi maklumat. Saya dan Johari layak untuk memohon. Harap kalau saya mohon dan akan dapat dana dari kerajaan Selangor," katanya lagi.


Ruangan Komen