ISTIMEWA



 Nasional   

PKR belum sesuaikan diri dengan cara Khalid, kata Zuraida

pada 02-08-2012 04:08 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

 

SHAH ALAM: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menjelaskan kepimpinan parti itu masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan cara sesetengah pemimpin kerajaan Selangor walaupun setelah empat tahun Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Beliau mengakui terdapat perbezaan pendapat yang kadang-kala mencetuskan suasana tegang tetapi enggan menjadikan isu tersebut sebagai batu penghalang untuk mengekalkan pemerintahan di Selangor.

Zuraida diminta mengulas mengenai spekulasi tentang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat seolah-olah tidak serasi dengan kepimpinan parti itu.

"Mungkin ada salah faham antara kerajaan negeri dengan parti (PKR) tetapi kita tidak mahu membesarkan isu itu kerana kita semua mahu memenangi hati rakyat.

"Dalam pentadbiran biasalah cara orang berbeza-beza, itu yang kita belum dapat serasikan," katanya kepada Antarapos selepas menjadi panel di program Meja Bulat bertajuk PRU13: Apa Wanita Mahu?, pagi tadi.

Zuraida sebaliknya berkata apa yang penting ketika ini adalah menguatkan jentera parti dengan harapan dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

"Dalam politik biasalah ada cacat cela di sana sini, tetapi sasaran kita adalah untuk menang dan kalahkan Barisan Nasional," katanya.

Biarpun baru sepenggal kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu, pelbagai isu telah timbul mengaitkan ketidakserasian di antara kedua-dua pimpinan baik kerajaan negeri mahupun Pakatan Rakyat.

Ini ekoran PKR berpandangan bahawa kerajaan negeri tidak boleh menggunakan soal pemisahan kuasa sebagai satu alasan untuk tidak mahu mendengar pandangan parti.

Antara perkara yang mendapat perhatian umum termasuk cadangan oleh Khalid dan exco kerajaan negeri untuk melucutkan jawatan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Latheefa Koya, dan juga isu Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin.


Ruangan Komen