ISTIMEWA



 Nasional   

BN gesa Guan Eng asingkan senarai projek PR

pada 02-08-2012 06:08 

Post Pic

 

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang digesa untuk menyenaraikan semua projek perumahan kos rendah dan sederhana yang diluluskan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini jika benar mereka berpegang kepada prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus).
 
"Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu mengemukakan dokumen lengkap mengandungi senarai tarikh projek perumahan kos rendah dan sederhana dimulakan oleh pemerintahan BN dan tarikh projek itu disiapkan selepas 2008," kata Penyelaras Parlimen Bayan Baru, Por Joo Tee.
 
Menurutnya, tarikh sebenar sesuatu projek perumahan kos rendah dan sederhana dilaksanakan oleh pentadbiran BN penting untuk pengetahuan rakyat.
 
"Ini kerana Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak sepatutnya mengambil kredit ke atas projek yang diluluskan sebelum mereka (PR) mengambil alih tampuk kepimpinan.

"Oleh itu, kami perlukan satu dokumen yang lengkap dengan fakta bertulis di mana projek diluluskan BN dan PR perlu diasingkan untuk memberi gambaran yang lebih jelas," katanya.

Pada masa yang sama, Joo Tee berkata setiap dakwaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri perlu dibuktikan dengan fakta secara bertulis.

Menurutnya, sehingga hari ini Kerajaan Negeri tidak mendedahkan butiran penjualan tanah seluas 0.44 hektar di Flat Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin.

"Kenapa tidak berani mendedahkannya. Adakah disebabkan ada beberapa rahsia yang tidak boleh didedahkan atau takut pendedahan umum itu akan menjejaskan kepentingan pembeli tanah?
 
"Di sini, timbul juga persoalan sama ada Kerajaan Negeri cuba melindungi sesiapa?" katanya.

Sementara itu, Penyelaras BN Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Lancang Lee Boon Ten membidas kenyataan Guan Eng dalam akhbar berbahasa Cina baru-baru ini yang mempersoalkan sikap BN mengabaikan projek perumahan kos rendah dan sederhana semasa memerintah tetapi mengungkitnya selepas menjadi pembangkang.

Boon Ten berkata semasa pemerintahan BN dari tahun 1990 hingga 2008, sebanyak 35,761 unit rumah kos rendah dan kos sederhana sudah dibina.
 
"Dalam tempoh masa yang sama, BN turut menyewa 4,615 unit rumah pangsa kepada keluarga yang memerlukan.
 
"Selain itu, sejak 2004 hingga 2008, BN meluluskan 33,514 unit projek rumah kos rendah dan kos sederhana," katanya.


Ruangan Komen