ISTIMEWA



 Nasional   

Hudud: Karpal minta Salleh Abas beri penjelasan pada PAS

pada 12-08-2012 01:08 

Post Pic

GEORGETOWN: Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas diminta menjelaskan kepada pemimpin PAS mengenai isu negara Islam dan mengapa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata Salleh wajar memberikan penerangan itu kerana beliau adalah individu yang mengeluarkan keputusan bersejarah pada 1988 bahawa Malaysia negara sekular.

Katanya, perisytiharan Malaysia negara sekular oleh barisan lima hakim yang diketuai Salleh itu memutuskan negara ini ditadbir undang-undang sekular.

“Ia jelas undang-undang sekular dan bukan undang-undang Islam diguna pakai di Malaysia. Kontroversi antara PAS dan DAP mengenai isu negara Islam sudah berlanjutan terlalu lama.

“Saya harap demi kepentingan Pakatan Rakyat, pemimpin PAS berhenti daripada mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini. Saya hanya memberi maklum balas ke atas kenyataan mereka. Apa yang mereka perkatakan tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang jawapan,” katanya di sini.

Karpal berkata beliau kesal kerana isu negara Islam dibangkitkan ketika ini dengan PAS terus mendakwa akan terus memperjuangkan agenda berkenaan.

Menurutnya, kenyataan itu terus dikeluarkan walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah menyatakan PAS tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya negara berkebajikan.

“Pendirian yang diambil PAS bukan saja tidak mematuhi Perlembagaan, tetapi juga melanggar keputusan Mahkamah Agung yang diputuskan Salleh, yang kini ahli PAS,” katanya.


Ruangan Komen