ISTIMEWA



 Nasional   

Hukum Hudud: Umno minta PAS kemukakan bukti

pada 12-08-2012 03:08 Ditulis Oleh Shuhaniza Said

Post Pic


SHAH ALAM: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan meminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan bukti yang mendakwa Umno telah lama menolak hudud walaupun majoriti ahli parti tersebut beragama Islam.

Beliau yang dihubungi AntaraPos hari ini menolak dakwaan pemimpin parti Islam tersebut, selain berkata Umno tidak pernah menolak pelaksanaan hudud di negara ini.  

"Tunjukkan apa perkataan-perkataannya, bila tarikhnya, di mana, perkataan apa yang menunjukkan pemimpin Umno menolak hudud. Cuba beritahu. Saya nak buktinya," ulasnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi hari ini yang mendakwa Umno telah lama menolak hudud iaitu sebelum PAS berpakat dengan DAP lagi.

Hadi dalam kenyataannya yang dipetik dari sebuah akhbar juga berkata penolakan DAP terutama Pengerusinya, Karpal Singh terhadap undang-undang Islam adalah sesuatu yang tidak menghairankan, kerana parti tersebut pun bukan beragama Islam.

Beliau antara lainnya berkata PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam akan terus berusaha menjelaskan kepada DAP mengenai prinsip keadilan dalam undang-undang jenayah Islam itu.  

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan pergerakan Puteri Umno yang memandang positif cadangan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam kenyataannya berkata, dalam kesediaan melaksanakan hudud, perkara paling utama yang harus dititikberatkan terlebih dahulu adalah dengan memperhalusi teori dan pelaksanaan hukum jenayah syariah tersebut.

Manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim juga sebelum ini menyatakan pendapat peribadinya yang menyokong cadangan pelaksanaan hukum hudud di negara ini, namun masih lagi kekurangan prasarana untuk membolehkan ia menjadi realiti.

“Namun kita kekurangan prasarana terdiri daripada mahkamah, hakim, pegawai pendakwa bagi melaksanakan perundangan Islam di negara ini.

“Jika usaha ini dapat dilaksanakan, Barisan Nasional (BN) akan menjadi pihak pertama melaksanakan hukum itu berbanding dengan Kelantan yang hanya bercakap kosong,” katanya.


 


Ruangan Komen