ISTIMEWA



 Nasional   

Hudud: PAS dilihat makin dayus

pada 13-08-2012 10:08 

Post Pic


KUALA LUMPUR: PAS dilihat semakin dayus apabila mewajarkan penghinaan Karpal Singh dalam isu hudud, kata bekas Ketua Penerangan PAS Selangor, Hasan Basri Mohamad.

Hasan berkata tindakan pemimpin PAS termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi pelbagai hujah serta dalil bagi mewajarkan penghinaan Karpal Singh dalam isu hudud menunjukkan Pengerusi DAP itu tidak pernah berganjak daripada pendiriannya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebiadaban Karpal termasuk menggesa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas memberi kuliah kepada pemimpin PAS dalam isu hudud adalah disebabkan kelemahan parti itu sendiri.

"Isunya sekarang kenapa pemimpin-pemimpin PAS ini begitu beria-ia mencari hujah untuk mempertahan Karpal? Apakah benar pemimpin PAS kini sudah boleh menerima penghinaan daripada DAP semata-mata demi politik?

"Sebab itu dalam surah al-Maidah, Allah telah berpesan kalau hendak berkawan dengan bukan Islam berhati-hati kerana mereka sentiasa berusaha untuk memalingkan kamu, apa yang berlaku kepada PAS sekarang sudah jelas.

"Tindakan ini jelas menunjukkan PAS bukan sahaja tunduk kepada DAP dalam isu hudud dan negara Islam tetapi mereka menggadai satu demi satu prinsip perjuangan," katanya.

Semalam Karpal meminta Salleh yang juga ahli PAS memberi kuliah kepada pemimpin parti itu mengapa hukum hudud dan hasrat menubuhkan negara Islam tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

Karpal berkata beliau kesal kerana isu negara Islam dibangkitkan ketika ini dengan PAS terus mendakwa akan terus memperjuangkan agenda berkenaan.

Menurutnya, kenyataan itu terus dikeluarkan walaupun Hadi sudah menyatakan PAS tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya negara berkebajikan.



 


Ruangan Komen