ISTIMEWA



 Nasional   

K'jaan negeri, KDEB nafi arah kurangkan air terawat

pada 13-08-2012 11:08 

Post Pic

SHAH ALAM: Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menafikan bahawa Kerajaan negeri dan Kumpulan Darul Ehsan(KDEB) pernah mengeluarkan surat arahan kepada Konsortium Abbas Sdn Bhd supaya mengurangkan pengeluaran air terawat.
 
Xavier berkata, dakwaan arahan pengurangan pengeluaran air daripada 145 juta gelen kepada 120 juta gelen sehari yang mengaitkan kerajaan negeri dan KDEB adalah fitnah semata-mata.
 
Menurut Xavier lagi, pihaknya tidak pernah berbincang mengenai isu berkenaan sama ada dalam mesyuarat Exco mahunpun perbincangan lain, sebelum ini.
 
"Yang saya tahu setakat ini, KDEB juga tidak terlibat(dalam pengeluaran arahan tersebut). Perkara ini tidak pernah berlaku.
 
"Sebab apa kita hendak lakukan perkara itu, kalau ada permintaan air terawat tinggi? Jangan bimbang air di Cheras, Kajang dan Balakong cukup," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Barisan Nasional(BN) Selangor yang menyatakan pengurangan itu menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong memandangkan Abbas mengendalikan Loji Rawatan Air(LRA) Sungai Semenyih.
 
Kenyataan Xavier itu sekaligus menyangkal dakwaan kerajaan negeri dan KDEB cuba mensabotaj Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd(SYABAS) ekoran tekanan air rendah di beberapa kawasan di Lembah Kelang bar]u-baru ini.
 
Mengulas lanjut berhubung dakwaan KDEB mempunyai 15 peratus sahamnya dalam SYABAS untuk kegunaan tertentu, Xavier menyifatkan tindakan itu adalah perkara biasa, sama seperti yang dilakukan kerajaan mehupun syarikat korporat bagi mendapatkan dana.
 
"Mana-mana syarikat boleh buat cagaran untuk mendapatkan sumber kewangan sebagai jaminan kepada bank bagi membolehkan mereka menjalankan tugas. Kerajaan pun boleh jual bon untuk dapatkan duit bagi melaksanakan projek," katanya lagi.
 
Kelmarin, Kordinator BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed mempersoalkan cagaran saham berkenaan untuk mendapatkan pinjaman rM250 juta dan arahan pengurangan pengeluaran air terawat.
 

Ruangan Komen