ISTIMEWA



 Nasional   

Karpal perlu bukti perkataan sekular dalam Perlembagaan

pada 13-08-2012 01:08 

Post Pic

 

BANDAR BARU BANGI: Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) memberi masa dua minggu kepada Pengerusi DAP Karpal Singh untuk membuktikan bahawa ada perkataan sekular di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata Karpal sebelum ini membuat kenyataan yang mengelirukan seluruh rakyat Malaysia apabila mengatakan Tun Salleh Abas memutuskan Malaysia adalah negara sekular dalam kes Che’ Omar Che’ Soh.

Sedangkan, katanya, Salleh dalam kes tersebut hanya berpendapat undang-undang yang dilaksanakan di negara ini pada waktu itu (1988) adalah undang-undang sekular.

“Tun Salleh tidak sama sekali memutuskan Malaysia negara sekular malah tiada sepatah pun ungkapan sekular termaktub dalam undang-undang tertinggi negara,” katanya selepas sidang media di pejabat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), semalam.

Hadir sama Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman; Presiden Pertubuhan Muafakat Ismail Mina; Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Azril Mohd Amin dan Timbalan Presiden JATI Datuk Aidit Ghazali.

Aminuddin berkata sekiranya Karpal gagal mengemukakan bukti, beliau perlu meletak jawatan dan membubarkan DAP kerana perjuangan parti tersebut meletakkan prinsip sekular yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pendirian mana-mana parti politik yang mendukung unsur menentang kedaulatan Islam sebagai agama negara adalah bercanggah dengan prinsip Rukun Negara.

“Disebabkan itu, bagi mengelakkan salah tanggapan sebegini terus menular dalam kalangan rakyat dan pentadbir negara, PEMBELA memohon perkenan Raja-Raja Melayu untuk menubuhkan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) sebagaimana yang diluluskan dalam resolusi Kongres Majlis Agama Islam seluruh negara tahun lalu,” katanya.

Aminuddin berkata pihaknya turut memohon perkenan untuk mengenakan tindakan pendakwaan terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan perasaan tidak menghormati agama negara.


Ruangan Komen