ISTIMEWA



 Nasional   

Projek IC: Karier politik Anwar akan terjejas, kata NGO

pada 13-08-2012 01:08 Ditulis Oleh Siti Sofia Md Nasir

Post Pic

SHAH ALAM: Suruhajaya Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan bahawa pendatang asing tanpa izin di Sabah diberi kerwarganegaraan akan menjejaskan karier politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata ketua pegawai eksekutif , Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, walaupun ramai pihak mengaitkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad dengan 'Projek IC' yang membolehkan pendatang asing itu mengundi, namun Anwar, ketika itu adalah pemimpin nombor dua negara.

Malah, menurut Wan Saiful, Anwar adalah pemimpin yang berperanan besar dalam membawa Umno ke Sabah bagi menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

"Kita tidak dapat menafikan bahawa ada kemungkinan Anwar akan terpalit sedikit. Sebagai orang nombor dua dalam kerajaan ketika itu, sebagai salah seorang yang memainkan peranan besar untuk bawa Umno ke Sabah, beliau ada kaitan.

"Dia pernah menjadi orang kedua dalam Umno. Dan banyak juga tuduhan mengatakan Anwar antara yang paling terkehadapan dalam membawa Umno ke Sabah untuk menggantikan Usno dahulu," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Ditanya sekiranya Anwar menafikan penglibatan beliau dalam 'Projek IC' itu, Wan Saiful berkata, penafian pasti akan berlaku.

Bagaimanapun, katanya, jika suruhanjaya diraja itu berjaya membuktikan pembabitan Anwar dalam isu berkenaan, kredibilitinya sebagai Ketua Pembangkang pasti terjejas.

"Tentulah sesiapa saja yang dituduh akan menafikan. Saya rasa penafian pasti akan berlaku. Yang penting RCI perlu menjalankan siasatan untuk melihat semua kemungkinan.

"Kita tidak boleh nilai sekarang. Yang penting, sekiranya RCI mengatakan Anwar terlibat, kredibilitinya akan terjejas," katanya sambil menambah kesan kepada Anwar adalah lebih serius berbanding Dr Mahathir.

Menurut Wan Saiful, Anwar kini juga masih aktif dalam arena politik sedangkan Mahathir telahpun bersara.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan terma rujukan  lapan perkara bagi RCI yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Sabah berdepan dengan masalah kebanjiran pendatang asing yang serius apabila populasi rakyatnya meningkat secara mendadak secara ketara bagi tempoh beberapa dekad ini.

Wan Saiful juga berkata, Najib terpaksa mengumumkan suruhanjaya itu untuk mengembalikan keyakinan rakyat di Sabah dan pada masa yang sama memberi peluang kepada perdana menteri untuk keluar dari bayang-bayang Mahathir dengan tindakan lalu yang mungkin menjejaskan Umno.


Ruangan Komen