ISTIMEWA



 Nasional   

Upko yakin BN terus kekal menang pada PRU13

pada 13-08-2012 03:08 

Post Pic

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 terutamanya pada pilihan raya negeri Sabah.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata demikian berdasarkan sokongan rakyat, Sabah kekal sebagai kubu kuat BN.

Justeru beliau menyeru mereka, terutama masyarakat Kadazandusun Murut (KDM), supaya terus bersama BN demi kebaikan mereka.

"Memang tidak diragukan bahawa BN kuat di Sabah, tapi tidak boleh dinafikan akan ada cabaran di kawasan bandar dan sub bandar.

"Tapi, saya yakin BN akhirnya akan menang pada pilihan raya akan datang," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Ramadan 1Malaysia di Kompleks Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Kepayan, sekat sini malam Ahad.

Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Utama dan Komoditi, menyangkal dakwaan bekas timbalan presiden Upko Datuk Wilfred Bumburing bahawa 40 peratus pemimpin Upko meninggalkan parti itu untuk menyertai Pakatan.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa hanya Bumburing, seorang naib presiden Upko, seorang pengerusi tetap dan segelintir pemimpin termasuk anggota dewan tertinggi, telah meninggalkan parti ini," katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya oleh pembangkang yang menabur janji untuk memancing undi mereka.

Pada Ahad, naib presiden Upko Senator Datuk Maijol Mahap mengesahkan keputusan beliau meninggalkan BN pada satu majlis di kediamannya di Kampung Kokobuan, Kota Marudu.

Maijol adalah pemimpin BN ketiga yang meninggalkan parti gabungan itu sejak bulan lepas, selain Bumburing dan Anggota Parlimen Beaufort, yang juga bekas timbalan menteri persekutuan serta anggota majlis tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin.

Sementara itu, Dompok mengumumkan pemberian peruntukan RM10,000 kepada surau yang terletak di kawasan kompleks itu.

"Di Sabah, kami boleh merapatkan hubungan melalui majlis berbuka puasa anjuran wakil rakyat beragama Islam dan bukan Islam.

"Jelas sekali, kecenderungan politik dapat diketepikan manakala ciri-ciri kemanusiaan kami ditonjolkan dan dengan jelas menunjukkan setiap rakyat dilayan secara sama rata," katanya.


Ruangan Komen