ISTIMEWA



 Nasional   

PAS akui Umno tingkatkan martabat Islam

pada 19-08-2012 01:08 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

GOMBAK: Seorang pemimpin kanan PAS mengaku Umno melakukan pelbagai tindakan untuk mengangkat martabat Islam namun pada masa sama menuduh parti pemerintah itu sebagai masih mengamalkan perkara-perkara anti-agama.

Antara tindakan kerajaan pusat yang diungkit oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man termasuk isu royalti untuk Terengganu yang didakwa dibekukan oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ketika PAS menerajui negeri itu.

Malah beliau turut menyifatkan dakwaan penahanan royalti untuk Kelantan juga tidak adil dan anti Islam.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa Umno melaksanakan beberapa langkah yang selari dengan nilai-nilai Islam.

"Saya tengok ada positif yang telah dibuat (tentang) nilai-nilai Islam tapi ada perkara-perkara yang menjadi keutamaan yang belum dibuat.

"Mengapa waktu PAS diberi mandat di Terengganu royalti minyak dibatalkan? Kemudian sekarang bila Kelantan tuntut kerajaan (bayar royalti minyak) sampai hari ini tak bagi?," kata beliau kepada Antarapos baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan sebuah jawatankuasa yang turut dianggotai oleh wakil kerajaan negeri PAS bagi menyelesaikan kemelut royalti minyak untuk negeri itu.

Najib sebelum ini turut meluluskan bayaran ehsan RM20 juta untuk rakyat Kelantan walaupun kerajaan negeri membawa pertikaian itu untuk diselesaikan di mahkamah.

Tuan Ibrahim kemudian menuduh kerajaan pusat pimpinan Najib meminggirkan negeri-negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) terutamanya dalam isu peruntukan.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran terperinci bagi menguatkan hujah itu.

Pemimpin-pemimpin Umno sebelum ini menegaskan rakyat di negeri-negeri pembangkang tidak pernah dipinggirkan dan menerima segala peruntukan daripada kerajaan pusat yang menjadi hak mereka.


Ruangan Komen