ISTIMEWA



 Nasional   

Tunku Aziz dakwa DAP amalkan rasuah dahsyat

pada 22-09-2012 05:09 

Post Pic


GEORGETOWN: DAP didakwa mengamalkan rasuah paling dahsyat sehingga ada sebilangan ahlinya tidak tahan dengan amalan terkutuk itu.

Dakwaan itu diakui empat bekas ahlinya apabila mengambil keputusan untuk melancarkan siri ceramah bagi menjelaskan alasan mereka keluar dari DAP.

Bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, rasuah adalah amalan yang diamalkan di dalam parti itu sedangkan pemimpin DAP sendiri asyik memperjuangkan anti rasuah.

"Punca saya ambil keputusan untuk keluar dari DAP adalah kerana amalan rasuh yang amat teruk di dalam parti itu. Ini antara sebab utama selain saya tidak bersetuju dengan perhimpunan BERSIH yang dianjurkan Pakatan Rakyat(PR).

"Perhimpunan BERSIH itu bagus tetapi apabila mereka melanggar undang-undang, itu yang buat saya tidak bersetuju," katanya dalam ucapan ketika berucap di majlis khas siri jelajah bertajuk “The Days When We Were in DAP” yang turut menampilkan beberapa bekas pemimpin kanan DAP malam kelmarin.

Tunku Aziz turut menafikan bahawa sebab utama dia meninggalkan parti itu adalah kerana pangkat sebaliknya mengetahui tembelang parti itu setelah dua bulan menyertai DAP.

"Saya sertai DAP kerana dijemput oleh Lim Kit Siang. Masa itu,beliau selalu mengatakan DAP tidak ada rasuah namun setelah dua bulan berada di dalam parti itu, saya sedar, ia hanya omong kosong sahaja.

"Rasuah dalam DAP cukup teruk, serta fitnah juga tersangat kuat.Saya dah kena,dan saya ingat saya saja yang kena, rupanya ada lagi yang kena macam saya,"katanya.

Tunku Aziz turut mendakwa bahawa Kit Siang menjadikan parti itu sebagai parti keluarga dengan menggunakan agenda sendiri di dalam pentadbiran parti itu.

Dalam pada itu, Tunku Aziz berkata, beliau bukan ahli politik yang pro Barisan Nasional (BN) ketika ini walaupun dia dilihat cenderung kepada BN.

Bagaimanapun tegasnya, apa yang menjadi pegangan beliau kini adalah menzahirkan sokongan kepada transformasi yang dibawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tunku Aziz berkata, transformasi dilakukan Perdana Menteri ketika ini adalah perkara yang dahulunya pernah diperjuangkan pembangkang termasuk kepimpinanan DAP.

Menurutnya, Najib dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang mendengar keperluan rakyat dan bertindak seiring dengan tuntutan yang disuarakan rakyat dari segenap golongan.

Tunku Aziz turut mendakwa bahawa beliau tidak memihak kepada mana-mana pihak sebaliknya menyokong pihak yang membuat perkara yang betul terhadap rakyat.

"Saya tidak kata memihak kepada mana-mana pihak namun apa yang dibuat Najib sekarang,saya nampak baik. Kalau ada sedikit cacat cela tu, biasalah. Hal itu boleh diperbetulkan dan diubah namun ia mengambil sedikit masa.

"Buat masa sekarang, kita boleh lihat bahawa Perdana Menteri prihatin (dengar) terhadap kemahuan rakyat. Saya tidak kisah malah tidak mahu tahu mengapa beliau buat semua ini tetapi saya nak lihat apa yang dibuat ini memberi kesan yang baik kepada rakyat," katanya.

Tunku Aziz berkata, sekiranya kepimpinan Najib gagal dalam melaksanakan transformasi yang dijanjikan, maka wajar teguran dibuat bagi membetulkan perkara tersebut.

"Paling penting bagi ketika ini, adalah untuk menyedarkan rakyat terutamanya tentang keperluan mengundi dengan bijak, berdasarkan pertimbangan paling wajar. Ini kerana, peluang mengundi hanya diperoleh setiap lima tahun.

"Kita hanya buat begini (pilihan raya umum) lima tahun sekali dan seharusnya perubahan yang dilakukan ini benar-benar mempunyai kredibiliti dengan mengundi calon mempunyai rekod cemerlang," katanya.


Ruangan Komen