Johor Bahru: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata nilai masa depan negara terlalu besar untuk diperjudikan.

Justeru, beliau berkata, sebagai pejuang, pantang bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) menyerahkan negara kepada parti pembangkang.

“Kita tidak boleh menggadai masa depan. Masa depan kita terlalu besar nilainya. Di sinilah (Johor) lahirnya Umno, banyaknya jasa kepada negara. Pantang kita serah negara ini kepada mereka.

“Ini semangat. Kita rapatkan barisan. Allah cintakan kita kalau kita dalam kesatuan,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan berkelompok Umno Bahagian Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Tanjung Piai, di Persada Johor, di sini, semalam.

Najib berkata, parti pembangkang lebih suka mengamalkan politik kutuk, hasut dan janji melangit dalam usaha menggagalkan kebaikan yang dilaksanakan kerajaan.

“Pembangkang pakar pusing saja. Mereka pusing semua perkara. Kalau ada kebaikan yang dibuat, dia cuba menghalangnya atau cuba putar-belit supaya sesuatu yang baik digagalkan.

“Kalau kita buat baik, dia kutuk, kalau dia nampak sesuatu itu tak ‘makan’ kutuk, dia akan hasut. Kalau kutuk dan hasut pun tak ‘makan,’ dia janji dengan janji melangit sampai tidak berpijak di bumi nyata,” katanya

Najib berkata, pelbagai isu yang digunakan pembangkang termasuk isu Felda bankrap ternyata tidak benar, malah kini ada bekas pimpinan parti pembangkang sendiri sudah sedar dan mengakui kejayaan dicapai BN selama ini.

Najib juga mendedahkan, pada satu majlis di sebuah gereja dekat Petaling Jaya baru-baru ini, ada penganalisis propembangkang memuji perubahan dan transformasi kerajaan dan mengkritik pembangkang sebagai tidak ada kredibiliti.