ISTIMEWA



 Nasional   

Pahang timbang batal penjualan air kepada Selangor

pada 23-09-2012 05:09 

Post Pic

BENTONG: Kerajaan Pahang menimbang untuk membatalkan perjanjian pembekalan air mentah kepada kerajaan Selangor jika Pakatan Rakyat yang memimpin negeri itu terus menghalang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).  
 
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sudah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk memperinci perjanjian itu, termasuk struktur harga penjualan air yang terbabit.
 
“Kami mahu mengkaji semula dan mungkin membatalkan perjanjian itu kerana kerajaan Selangor nampaknya tidak berminat untuk meneruskannya,” kata beliau kepada pemberita.
 
Langat 2 adalah komponen penting dalam perjanjian itu kerana air mentah yang dibekalkan oleh Pahang akan disalurkan ke loji itu untuk pemerosesan.  
 
"Pada awalnya, kita berjanji untuk menjual air mentah kepada Selangor pada harga 10 sen setiap meter padu tetapi jika Pakatan menang lagi pada pilihan raya umum akan datang, kami terpaksa mengkaji semula harga itu,” tegas Adnan.
 
Beliau membayangkan kemungkinan harga itu dinaikkan hingga RM1 satu meter padu jika kerajaan Selangor terus meletakkan pelbagai kekangan terhadap Langat 2.   
 
"Walaupun sudah bertukar kerajaan, Menteri Besar Selangor sekarang sepatutnya menghormati perjanjian bekalan air mentah ke negeri itu dan juga Putrajaya serta Kuala Lumpur,” kata beliau.
 
“Saya berharap kerajaan Selangor tidak menjadikan bekalan air mentah itu sebagai isu politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Maha 2012 dan Jelajah Kesihatan Peringkat Daerah Bentong di Dataran Bentong di sini hari ini.

Ruangan Komen