ISTIMEWA



 Nasional   

119 anggota Polis bertugas malam Ambang Merdeka Selangor, kata Tun Hisan

pada 05-09-2012 07:09 

Post Pic

 

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah hari ini menafikan dakwaan Exco Selangor dr Xavier Jayakumar bahawa polis tidak profesional kerana tidak bertugas mengawal keselamatan pada malam sambutan ambang merdeka peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini Khamis lepas.
 
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa seramai 119 anggota polis telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan pada majlis anjuran kerajaan pakatan pembangkang itu.
 
"Sila semak fakta sebelum membuat kenyataan dan jangan membuat tuduhan melulu. Saya mengarahkan 119 anggota polis bertugas termasuk 86 yang beruniform bagi mengawal keselamatan dan trafik.
 
"Malah, saya yang meluluskan permit bunga api untuk sambutan itu. Jadi bagaimana timbul dakwaan polis tidak profesional dan tidak bekerjasama dengan kerajaan Selangor," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
 
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin adalah antara tetamu yang hadir.
 
Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata, balai polis bergerak turut ditempatkan di lokasi sambutan pada malam berkenaan bagi kemudahan orang ramai.
 
Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, tiada sebarang kejadian jenayah pada malam sambutan itu.
 
"Kami tidak ada masalah dengan kerajaan Selangor, kami bukan polis BN (Barisan Nasional) atau polis PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi kami Polis Diraja Malaysia (PDRM)," tegasnya.
 
Tun Hisan menyifatkan perbuatan mengeluarkan kenyataan tanpa pengesahan daripada PDRM sebagai tidak beretika dan berniat menjatuhkan maruah badan terbabit.
 
Kerajaan negeri semalam mendakwa pihaknya kesal dengan tindakan anggota polis 'menghilangkan diri' pada malam sambutan Hari Kemerdekaan sekali gus menarik diri daripada menyertai perbarisan sewaktu sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor pada 30 Ogos lalu.
 
Exconya Dr Xavier Jayakumar berkata, ia bukan sahaja tidak profesional malah tindakan tersebut, terutama ketiadaan badan beruniform itu pada malam sambutan kemerdekaan menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya bertugas pada program keramaian yang melibatkan pemimpin Umno atau Barisan Nasional (BN) sahaja.
 

Ruangan Komen