ISTIMEWA



 Nasional   

Banyak Aduan Terhadap Khalid-Mike

pada 10-10-2011 05:10 

Post Pic

KAPAR 10 OKT : Menteri Besar Selangor Tan Sri Abul Khalid Ibrahim tidak peka dalam menangani aduan yang di bawa oleh wakil rakyat di Selangor dan sebaliknya membiarkan masalah-masalah seperti isu tanah berlarutan, kata Ahli Parlimen Kapar  S. Manikavasagam.

" Apabila isu-isu seperti (tanah) dibawakan, MB ...harus jumpa dengan wakil rakyat sebab kita tahu apa masalah rakyat," kata Manikavagam kepada Antarapos. com.

"Bila ada isu di sesuatu kawasan, pengundi mesti jumpa wakil rakyat. Wakil rakyat yang membawa isu ini. Jadi Tan Sri Khalid harus meluangkan masa bersama wakil rakyat. Sekarang perkara itu tidak berlaku.  Tan Sri Khalid tidak pernah meluangkan masa bersama wakil rakyat. Kalau boleh, setengah jam (pun cukup)," kata tokoh pembangkang itu.

Rungutan terbuka wakil rakyat PKR itu timbul ketika desas-desus semakin kencang bahawa wakil rakyat PKR mahukan pucuk pimpinan parti memecat Khalid dan melantik Menteri Besar baru.

Desas-desus itu berpaut kepada dakwaan bahawa Khalid memusatkan terlalu banyak kuasa  kepada Pejabat Menteri Besar.

Justeru, banyak keputusan penting dibuat oleh beliau berpandukan nasihat Setiausaha Politiknya Faekah Husin, Setiausaha Akhbar Arfah' Eza Abdul Aziz dan  Ketua Pegawai Eksekutif  Menteri Besar Incorporated Rohany Talib. 

Sejak lewat tahun lalu, wakil rakyat PKR  mengadu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Khalid amat lembab dalam menyelesaikan aduan-aduan yang dibawa oleh mereka.

Mereka bimbang,  keadaan itu jika dibiar berterusan,  sehingga menjejaskan peluang parti itu untuk mengekalkan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Malah difahamkan, sebuah memorandum rasmi daripada mereka bersabit isu itu sudah dikemukakan kepada Anwar namun tidak ada tindakan diambil.

Banyak daripada rungutan-rungutan terhadap Khalid datang daripada penduduk di Ijok dan disalurkan secara langsung menerusi Biro Aduan Rakyat PKR. Khalid adalah Ahli Dewan Undangan kawasan itu.

" Saya pergi Ijok, kawasan Tan Sri Khalid( dan) memang ada banyak aduan. Minta maaflah tapi saya kena cakap (perkara ini).. Memang susah untuk Tan Sri Khalid (pertahankan Ijok pada pilihan raya umum akan datang). Saya tahu sebab saya (pengerusi) biro aduan rakyat PKR," kata Manikavasagam. 

Beliau menegur tindakan Pejabat Menteri Besar untuk "masuk campur" dalam hampir setiap urusan sehingga menghakis kuasa-kuasa dan kerja-kerja wakil rakyat di sesuatu kawasan.

" Ya, masalah-masalah kecil pun MB masuk campur. Contohnya masalah di kawasan saya, tak perlu masuk campur. Biar kita yang selesai. Tan Sri Khalid kena percaya pada wakil rakyat," kata Manikavasagam.

"Kalau sesama PKR tapi dia tidak percaya, jadi macamana? Kalau boleh dia percaya wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Kalau kita ada curi tanah orang, ambil duit orang, janganlah percaya. Tapi ini kita dari parti yang sama dan  saya masih lagi kuat bersama PKR," kata beliau.

Dalam wawancara ini, Manikavasagam membayangkan hubungan Khalid dengan wakil rakyat PKR agak renggang kerana ada di kalangan mereka merasa diri dipinggirkan oleh Pejabat Menteri Besar. 

" Tan Sri Khalid bukan tahu semua perkara berlaku. Kadang-kadang dia kena dengar. Dia kena percaya kepada wakil rakyat. Anda kena percaya orang anda sendiri. Saya bukan orang Barisan Nasional atau orang MIC," kata beliau.

" Sebab itu kadang-kadang ramai tak suka Tan Sri Khalid. Tan Sri Khalid harus berubahlah. Percaya orang anda sendiri.

Manikavasagam berkata keluhan wakil rakyat parti itu terhadap Khalid berpaksi kepada keperluan untuk PKR mendapatkan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang di bawa oleh rakyat.

Kegagalan menyelesaikan masalah akan menjejaskan peluang wakil rakyat berkenaan mempertahankan kerusi berkenaan.

"Contohnya seperti kita membawakan sesuatu hal kepada Tan Sri Khalid dan ia tidak diselesaikan, kita menjadi marah," kata Manikavasagam.

"(MB) kena percaya kepada wakil rakyat yang membawa isu tersebut,  tetapi kalau anda biarkan ia (begitu)  lama, tiga tahun misalnya, orang ramai akan marah pada wakil rakyat.. masa BN macam ini, masa Pakatan pun macam ini juga. Sebenarnya kepantasan itu penting untuk menyelesaikan sesuatu masalah, kena cepat la.. supaya senang," kata beliau. 

Manikavasagam akur bahawa ruang untuk PKR menyelesaikan masalah-masalah rakyat semakin mengecil, memandangkan PRU ke-13 dijangka  diadakan dalam tempoh terdekat.   

" Sekarang sudah tidak ada masa lagi. Kita kena turun. Kita kena selesaikan apa yang kita masih belum selesaikan. Kita janji kita kena tunaikan. Ini penting. Kalau kita hanya hendak pergi (jumpa rakyat) bila Parlimen bubar, itu sudah terlambat,"katanya.

 

 


Ruangan Komen