ISTIMEWA



 Nasional   

PRU13: Selangor akan tumbang ke tangan BN - Zam

pada 10-09-2012 06:09 Ditulis Oleh Ahmad Aidil Syukri

Post Pic

 

SHAH ALAM: Tokoh wartawan negara, Tan Sri Zainuddin Maidin yakin kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), yang dijangkakan pada bulan November ini.

Keyakinan beliau itu lahir berlandaskan kepada sikap kerajaan negeri diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang dilihat kerap memandang ringan isu-isu yang dianggap sensitif oleh masyarakat.

Sikap sambil lewa kerajaan negeri itu, menurut Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam, telah membangkitkan kemarahan rakyat Selangor terhadap pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kerajaan Selangor akan jatuh..kerajaan PKR di Selangor ini..kerajaan Pakatan akan jatuh,

“Ini kerana kepimpinan Khalid yang tidak sampai kepada grass root (akar umbi) dan cara kepimpinan yang korporat. Kemudian (kerajaan negeri) banyak buat kesilapan dalam soal-soal yang sensitif macam soal dengan Raja-raja dan projek-projek yang menyinggung perasaan, menimbulkan kemarahan orang ramai,” katanya yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani.

Tambah bekas Menteri Penerangan itu lagi, insiden-insiden yang melibatkan sensitiviti agama juga dilihat semakin berleluasa selepas Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008 seperti insiden meletakkan kepala babi di masjid dan membaling bom ‘molotov cocktail’ ke arah gereja.

Selain itu, kaum Melayu di Selangor, menurut beliau, kini telah mula bimbang akan tergadainya kepentingan-kepentingan Melayu di negeri itu.

Menurutnya, kebimbangan itu berasas lebih-lebih lagi apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Berdasarkan pengalamannya sendiri, beliau percaya kebimbangan tersebut akan menjadi realiti sekiranya Pakatan diberikan tempoh yang lebih panjang mentadbir negeri memandangkan tanda-tanda permulaan ke arahnya sudah boleh dilihat.

“Rakyat tahu yang Anwar mengendalikan ekonomi Selangor,

“Jadi (wujud) kebimbangan orang terhadap kepentingan-kepentingan Melayu di Selangor,

“Di Shah Alam dulu, anak saya ada tanah. Shah Alam tak boleh jual kepada orang bukan Melayu. Tapi ada Cina telefon saya kata nak beli tanah, tak boleh saya kata. Dia kata tak apa dia boleh uruskan. Maknanya sudah berlakulah benda-benda begini yang orang bimbang,” ujar beliau.

Pengalaman BN di dalam pentadbiran juga katanya memberikan kelebihan kepada mereka pada pilihan raya yang akan datang memandangkan rakyat telah sedar kesilapan mereka memilih Pakatan yang kini terbukti gagal mentadbir dengan baik.


Ruangan Komen