ISTIMEWA



 Nasional   

Isu tajaan arak : Fathul Bari puji Ning Baizura

pada 13-09-2012 06:09 Ditulis Oleh Farah Eliana Mohd Adnand

Post Pic

 

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya menyarankan agar kerajaan menubuhkan satu garis panduan kepada artis tempatan agar dapat memantau perihal berkaitan akhlak dan agama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan penyanyi tersohor, Ning Baizura Sheikh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ning yang menarik diri daripada acara persembahan 'Guiness Arthur's Day' pada 28 September depan.

Disamping memuji tindakan Ning itu, Fathul berkata, inilah masa terbaik untuk membimbing artis atau penghibur industri tempatan bagi mengelakkan daripada terlibat dalam kancah yang merosakkan.

"Inilah masa dan langkah yang sesuai untuk kerajaan meletakkan satu garis panduan bagi seluruh umat Islam sama ada syarikat-syarikat yang dipegang atau dikuasai oleh orang Islam, didominan oleh orang Islam seperti GLC, syarikat yang dipegang oleh orang Islam, dari sudut artis, filem dan sebagainya, mesti ada garis panduan yang jelas.

"Saya memuji tindakan beliau. Dan daripada awal lagi apabila melihat poster tersebut, kita jangan mencaci atau menghina orang. Sewajarnya kita berikan nasihat atau pandangan positif. Dia mencari rezeki, jadi perlu memahamkan dia tentang agamanya," ujarnya.

Kata Fathul lagi, kerajaan serta artis-artis yang terlibat perlu memandang serius tentang perkara melibatkan akhlak sosial kerana selebriti sentiasa dipandang sebagai golongan yang boleh memberi kesan besar kepada masyarakat.

"Kerajaan perlu memberi perhatian yang serius terhadap isu tersebut.

"(Artis) terlibat dalam mempromosikan, kehadiran kalian sebagai selebriti. Barang yang kalian pakai pun, menjadi ikutan, orang tengok kita pakai baju apa, gaya berjalan, orang juga melihat ke mana kita pergi, dan kita secara langsung atau tidak menjadi orang yang mempromosikan tempat-tempat sebegitu."

Memetik daripada Surah Al-Maidah 90 yang melarang keras umat Islam terlibat dengan arak, beliau bertegas bahawa perkara ini tidak boleh dianggap main-main.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Awan Yang Terpilu' itu dikatakan menarik diri daripada persembahan yang dianjurkan oleh syarikat arak tersebut.
 
Penyanyi itu dukacita di atas penyalahgunaan gambarnya pada poster promosi mengenai penglibatannya dalam persembahan acara ‘Guinness Arthur’s Day’ yang akan berlangsung di Bukit Kiara, akhir bulan ini.


Ruangan Komen