ISTIMEWA



 Nasional   

SPR gesa k'jaan S'gor tampil nama pengundi meragukan

pada 13-09-2012 09:09 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta kerajaan PKR Selangor menampilkan nama pengundi yang didakwa belum dibersihkan dari daftar pemilih untuk dikemaskan segala data yang diragui.

Gesaan itu dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof merujuk kenyataan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang menyokong keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan pilihan raya negeri berasingan ekoran dakwaan suruhanjaya itu gagal membersihkan lebih 200,000 nama baru daftar pemilih di Selangor.

“Pertama sekali daftar pemilih dengan Tan Sri Khalid Ibrahim katakan tu bila? Tahun 2011 ke? Tahun 2010 ke?

“Kita sekarang sudah sampai September 2012, banyak angka-angka yang sudah kita bersihkan, yang telah meninggal dunia, yang lucut warganegara, yang salah alamat, yang bertindih pendaftaran, jantina salah, lokaliti salah....banyak salah yang kita pinda dengan syarat pengundi tersebut membuat pindaan,” kata Aziz.

Aziz kemudian memberitahu bahawa SPR tidak pernah sama sekali mengabaikan perkara yang dibangkitkan oleh mana-mana parti yang mendakwa kononnya badan itu tidak cekap menjalankan tugas yang diberi.

Beliau memberi contoh SPR tidak pernah terlepas pandang mengemaskini data maklumat pengundi sekiranya terdapat kesedaran yang tinggi kepada pengundi sendiri tampil memberikan maklumat terkini untuk dilengkapkan.

“SPR hanya boleh meminda jika berlaku kesilapan, contohnya yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, yang tersilap lokaliti, kita ingatkan dia 16/1 tu di PJ Utara rupanya 16/1 itu terletak di lokaliti Lembah Pantai,” kata beliau ditemui dalam satu sidang media khas selepas menjadi panel jemputan Radio24 Bernama yang membincangkan tajuk “PRU13-Ujian Untuk Semua”, petang tadi.

Diskusi turut melibatkan dua lagi panel iaitu AJK Kerja Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution.

Saifuddin dalam pada itu meminta SPR meneliti semula janji seperti yang tercatat dalam laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) pada sesi parlimen yang lepas.

“Apakah hasil lapangan yang kami dapat? Kami kategorikan di kawasan parlimen dan dun, yang pertama alamat dijumpai, pengundi dikenalpasti, yang kedua alamat dijumpai, pengundi disahkan tiada, yang ketiga alamat dijumpai tetapi pengundi enggan bekerjasama.

“Yang keempat alamat ditemui tetapi tiada siapa dapat sahkan,” katanya.

Justeru kata Saifuddin, SPR perlu mengambil perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang.

“Jadi soal ini yang kami mahu SPR teliti supaya setiap perkara itu dapat dikemaskinikan,” katanya.

Semalam, kerajaan pimpinan PKR di Selangor membuat keputusan tidak akan memanggil pilihan raya peringkat negeri serentak dengan pilihanraya umum jika ia diadakan pada November ini kerana mendakwa senarai pengundi masih belum bersih.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat secara konsisten menuduh SPR sebagai tidak berkesan dalam uasha membersihkan daftar pengundi.
 
Bagaimanapun penganalisis yang ditemui berkata, keputusan Anwar itu banyak berpaksi kepada kegagalan kerajaan negeri pimpinan PKR di Selangor menunaikan janji-janji pilihan raya umum yang lalu.


Ruangan Komen