ISTIMEWA



 Nasional   

Menjelang PRU13: Jangan benci SPR - Abdul Aziz

pada 13-09-2012 09:09 Ditulis Oleh Amran Ahmad

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti-parti politik terutama dari kalangan komponen Pakatan Rakyat (PR) agar tidak menyemai kebencian rakyat terhadap badan induk tersebut yang bertanggungjawab memakmurkan proses demokrasi di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR tidak boleh dipersalahkan oleh parti-parti yang kalah dalam sesuatu pilihanraya sama ada umum atau kecil dan kemenangan besar PR pada 2008 juga bukan atas bantuan badan itu.

"Dalam 16 pilihanraya kecil yang berlangsung semenjak 2008, bila PR menang, mereka puji SPR tetapi bila kalah, mereka salahkan SPR, kata tidak adil itu dan ini," katanya semasa program Dalam Radar khas bertajuk 'PRU13 : Ujian Untuk Semua' terbitan Bernama Radio 24 (93.9 FM) dengan kerjasama Antarapos.com yang dirakam di Tingkat 9, Wisma Bernama, di sini, hari ini.

Program yang berlangsung selama hampir dua jam itu turut menampilkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker sebagai ahli panel bagi membincangkan pelbagai topik menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya sedia berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pembangkang untuk tujuan menambah baik proses demokrasi di negara ini seperti daftar pemilih yang dikatakan meragukan serta menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi.

Menyentuh mengenai isu daftar pemilih yang selalu diketengahkan oleh pembangkang, tambah beliau, SPR mengakui bahawa pihaknya tidak dapat menyediakan daftar pemilih yang 100 peratus tepat dan betul pada setiap masa, sebaliknya cuba mengemas kini secara harian menjelang PRU.

"Saya akui daftar pemilih tidak 100 peratus tepat kerana ada hal-hal seperti kematian, ada satu hari 10 orang meninggal dunia dan kita tidak mendapat maklumat mengenai itu, tetapi kita cuba sedaya-upaya mengemas kini berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi," ujarnya lagi.

Sementara itu, Lian Ker berkata, PR sentiasa cuba untuk menimbulkan syak-wasangka terhadap SPR dan terlalu asyik bermain politik sehingga boleh menyebabkan pembinasaan negara, dan bukannya pembinaan negara seperti yang dilakukan Barisan Nasional (BN).

"Sepatutnya mereka menerangkan apakah dasar-dasar yang akan dilaksanakan jika menang PRU13 nanti, sebaliknya PR cuba menyemai kebencian kepada BN dan institusi-institusi lain seperti SPR dan Polis DiRaja Malaysia," jelas beliau lagi.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang pula berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada SPR atas peranannya dalam memelihara proses demokrasi di negara ini dan akan terus memberikan pandangan serta teguran yang membina kepada badan tersebut.


Ruangan Komen