ISTIMEWA



 Nasional   

PRU13: PKR serah rakyat tentukan kejayaan di Selangor

pada 14-09-2012 11:09 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: PKR menyerahkan nasib pemerintahan parti itu kepada pengundi di Selangor untuk menentukan tampuk pimpinan yang mahu dipilih oleh mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution bergantung kepada rakyat untuk menilai prestasi pembangkang di negeri itu berdasarkan janji-janji manifesto Pakatan Rakyat.

“Kita menghormati apa pun komen, sebab sebagai kerajaan di Selangor, Pakatan akan terdedah kepada pelbagai komen.

“Soal tidak menunaikan janji dan sebagainya, kita (Pakatan) serahkan kepada rakyat untuk mengundilah,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Saifuddin diminta mengulas mengenai beberapa dakwaan yang mengaitkan parti itu sengaja tidak mahu mengadakan pilihan raya serentak dengan kerajaan persekutuan ekoran gagal menunaikan janji kepada rakyat Selangor.

“Jadi macam Tan Sri Aziz sebutkan tadi, apakah boleh Selangor tidak boleh membuat pilihan raya serentak, jawapannya boleh... bukan sesuatu yang tidak dibenarkan. Jadi kalau bertindak dalam linkungan lunas yang dibenarkan, ia bukan adalah sesuatu yang tidak dibenarkan,” tambah beliau.

Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat menyatakan bahawa Selangor tidak berhasrat untuk menyertai pilihan raya umum sekiranya ia diadakan pada bulan November ini kerana mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum membersihkan senarai daftar pemilih yang diragui di negeri itu.

PRU13 kali ini memberi tamparan yang hebat kepada pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila didakwa gagal menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan rakyat.

Antaranya melibatkan masalah penyelesaian sampah-sarap; pemberian air percuma, isu meter pukal air, hutang Talam Corporation Berhad, pentadbiran tidak cekap yang melibatkan Universiti Industri Selangor (Unisel), hutang Jana Niaga Sdn Bhd dan pergolakan dalaman PKR.

Justeru andaian mengatakan bahawa keputusan kerajaan negeri Selangor berhasrat melengahkan pilihan raya negeri adalah berpaksikan kepada permasalahan yang menyelubungi pentadbiran Khalid.

Bagaimanapun semalam SPR meminta kerajaan PKR Selangor menampilkan nama pengundi yang didakwa belum dibersihkan dari daftar pemilih untuk dikemaskan segala data yang diragui.

Gesaan itu dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof merujuk kenyataan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang menyokong keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan pilihan raya negeri berasingan ekoran dakwaan suruhanjaya itu gagal membersihkan lebih 200,000 nama baru daftar pemilih di Selangor.

“Pertama sekali daftar pemilih dengan Tan Sri Khalid Ibrahim katakan tu bila? Tahun 2011 ke? Tahun 2010 ke?

“Kita sekarang sudah sampai September 2012, banyak angka-angka yang sudah kita bersihkan, yang telah meninggal dunia, yang lucut warganegara, yang salah alamat, yang bertindih pendaftaran, jantina salah, lokaliti salah....banyak salah yang kita pinda dengan syarat pengundi tersebut membuat pindaan,” kata beliau.


Ruangan Komen