ISTIMEWA



 Nasional   

Hisham abai amanah jaga keselamatan, kata PKR

pada 14-09-2012 07:09 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

 

SHAH ALAM: Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai gagal memainkan peranan menjaga keharmonian negara.

Katanya, sebagai Menteri Dalam Negeri yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin, Hishammuddin menunjukkan sikap sebaliknya apabila melibatkan parti politik pembangkang.

"Sebagai pemimpin, dia (Hishammuddin) yang harus menasihati rakyat dan mengarahkan polis di bawah jagaan dia, itu amanah yang dia pegang.

"Macam mana orang (ini) yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan setiap rakyat? Dengan slogan 'Cekap, Amanah, Betul', macam mana (beliau) keluarkan kenyataan tidak boleh jaga keselamatan?," soal beliau.

Hishammuddin dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini menyerahkan nasib keselamatan kempen Jelajah Merdeka Rakyat PKR kepada rakyat Johor sendiri.

Menurut beliau, tiada jaminan yang boleh diberikan kerajaan untuk memastikan kempen tersebut tidak diganggu oleh rakyat.

"Tiada jaminan. Ia akan ditentukan oleh rakyat Johor sendiri. Saya fikir PKR tahu perkara ini dan mereka boleh nilai sendiri berdasarkan apa yang terjadi."

Bas yang disewa khas oleh Pakatan Rakyat telah disimbah cat merah di beberapa lokasi seluruh negara.

Insiden terbaru, bas tersebut disimbah cat merah di Johor yang merupakan kejadian ketiga dalam tempoh dua minggu sejak ia memulakan lawatan pada 31 Ogos.


Ruangan Komen