ISTIMEWA



 Nasional   

ADUN Komtar hina mahkamah

pada 14-09-2012 07:09 

Post Pic

 

GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) menggesa polis menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik yang didakwa menghina mahkamah pada satu majlis makan malam anjuran Persatuan Penjaja Datuk Keramat pada Khamis lalu .

Pegawai Khas kepada Pengerusi BN negeri, David Yim Boon Leong berkata, Wei Aik ketika menyampaikan ucapan dalam majlis itu didakwa mengutuk keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan penduduk Kampung Bukit Koman di Raub bagi mencabar keputusan Ketua Pengarah Alam Sekitar yang meluluskan laporan awal penilaian kesan alam sekitar (PEIA) kepada sebuah syarikat melombong emas.

David Yim berkata, Wei Aik juga didapati mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran yang difailkan oleh 10 penduduk tempatan bagi membatalkan lesen operasi sementara (TOL) yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bagi projek kilang nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Gebeng, Pahang.

Menurutnya, tindakan Wei Aik yang juga Setiuasaha Politik kepada Ketua Menteri itu bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang malah beliau dengan secara berani menghina mahkamah secara terbuka.

"Tindakan Wei Aik ini jelas bertentangan dengan Perkara 126 di dalam Perlembagaan Persekutuan di mana dia telah mempertikaikan keputusan hakim di tempat awam.

"Tindakannya mengutuk institusi kehakiman ini seolah-olah beliau mahu menghasut orang awam supaya menentang badan kehakiman di Malaysia," katanya.
 
David Yim berkata, perbuatan Wei Aik itu amat berbahaya dan mampu menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman negara.

Menurutnya, dalam ucapan Wei Aik pada malam itu, beliau juga telah mengaitkan keputusan mahkamah tersebut dengan rasuah namun tidak memberikan sebarang bukti terhadap tuduhanya itu.

"Adakah Wei Aik cuba mengatakan badan kehakiman kita dan hakim yang terlibat dengan kes berkenaan terima rasuah?

"Tindakan Wei Aik ini telah menjejaskan kebebasan kehakiman dan juga campur tangan dalam isu undang-undang,"katanya.

Dalam pada itu, David Yim berkata, beliau dan beberapa lagi pimpinan BN negeri telah membuat tiga laporan di balai Polis Jalan Patani berhubung tindakan biadap ADUN Komtar itu dan pihaknya juga akan menulis satu surat kepada Ketua Hakim Negara supaya mengambil tindakan terhadap pemimpin DAP berkenaan.


Ruangan Komen