ISTIMEWA



 Nasional   

PRU13: Abu Zahar Ujang bakal MB Negeri Sembilan?

pada 15-09-2012 03:09 Ditulis Oleh Amran Ahmad

Post Pic

 

SHAH ALAM: Heboh di blog-blog politik tempatan mengenai ura-ura Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang bakal diangkat menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bagi menggantikan jawatan tersebut yang kini disandang Datuk Mohammad Hasan.

Abu Zahar yang merupakan bekas Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dikatakan akan bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan kelahirannya itu.

Abu Zahar juga pernah menjadi Ahli Dewangan Undangan Negeri kawasan yang sama antara tahun 1986 hingga 1995 dan anggota Parlimen kawasan tersebut dari 1990 hingga 1999.

Pemilihan Abu Zahar ini dilihat mampu memecahkan kebuntuan dalam krisis kepimpinan negeri berkenaan setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan mahu menggantikan Mohammad Hasan ekoran ketidak puasan hati ahli-ahli Umno terhadap Datuk Azman Hasan, abang kepada Mohammad.

Azman adalah Setiausaha Bahagian Umno Rembau yang dikatakan berperanan menentukan halatuju Umno-BN di negeri itu dengan menggunakan kedudukan Mohammad.

Sebelum ini, selain Abu Zahar, wujud juga spekulasi mengatakan bahawa Tan Sri Isa Abdul Samad dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor akan kembali dicalonkan menjadi Menteri Besar jika BN berjaya mempertahankan negeri itu.

Menurut theunspinners.blogspot.com, Mohamad Hasan dikatakan akan berpindah ke pusat.

"Abu Zahar mungkin dibawa pulang untuk memimpin Negeri Sembilan, dan pemerhati politik melihat beliau berkemampuan untuk meredakan krisis politik dalaman yang berpanjangan di Negeri Sembilan sejak negeri itu dipimpin oleh Mohamad Hasan,

"Akhir-akhir ini, Abu Zahar juga dilihat semakin kerap turun ke Kuala Pilah. Beliau diberitakan menganjurkan program berbuka puasa di beberapa cawangan di sekitar Parlimen tersebut. Beliau juga diberitakan sedang giat menganjurkan majlis ramah mesra dan rumah terbuka yang diadakan di setiap DUN di dalam Parlimen Kuala Pilah," kata blog itu lagi.

Blog paneh.blogspot.com pula berkata, Abu Zahar juga dilihat bergerak secara berpasukan dan kembali bergabung  dengan seteru politiknya iaitu Ismail Lasim yang sebelum ini pernah menewaskan beliau sebagai Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah.

"Abu Zahar dikatakan berusaha keras dan sedang menggunakan hubungan intimnya dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk memastikan Ismail dan seorang lagi sahabatnya, Adnan terus kekal sebagai calon pada PRU akan datang.

"Hubungan yang dilihat seperti three stoges ini sedang menjadi buah mulut para pemerhati dan aktivis parti di Kuala Pilah. Perkembangan ini dilihat telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan YB-YB yang lain, khususnya Hasan Malek selaku Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri KKLW," tambahnya.

Namun, katanya, kemunculan semula Abu Zahar secara berpihak itu dilihat telah mengecewakan banyak pihak terutamanya kepada pihak yang setia kepada parti yang ingin melihat Umno Kuala Pilah kembali kuat dan bersatu.  

"Jika beliau berjaya membuat 'come back' kali ini, bermakna beliau akan menjadi orang kedua selepas Datuk Seri Rais Yatim yang kembali menjadi calon Parlimen Jelebu dan seterusnya dilantik semula menjadi Menteri sehingga kini selepas meninggalkan Parti Semangat 46," katanya.

Abu Zahar adalah lulusan undang-undang di Lincoln's Inn, London dan pernah menjadi Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Penguasa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Kuala Lumpur pada tahun 1979.

Dalam hierarki UMNO, beliau dilantik menjadi ahli Lembaga Disiplin Umno sejak 13 Mei 2004 dan menjawat kerusi Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Pengerusi RISDA, Pengerusi Tribunal Hakcipta Malaysia dan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia.


Ruangan Komen