ISTIMEWA



 Nasional   

MOM: Tiada sekatan terhadap pekerja Sabah, Sarawak

pada 16-09-2012 06:09 

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM) menafikan dakwaan laporan media tempatan Isnin lalu bahawa republik itu menolak visa pekerjaan semua lelaki berumur bawah 35 tahun, dari Sabah dan Sarawak secara automatik untuk bekerja di negara jiran itu.
 
MOM dalam kenyataannya hari ini berkata, tiada sekatan dikenakan terhadap pekerja dari Sabah dan Sarawak untuk bekerja di republik itu.
 
"Kami terus meluluskan permit kerja untuk pekerja dari Sabah dan Sarawak yang didapati layak dan sesuai bekerja di Singapura," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini.
 
Bagaimanapun katanya, seperti negara lain, termasuk Malaysia, rakyat asing diwajibkan memenuhi kriteria tertentu untuk layak bekerja di Singapura.
 
Kementerian itu berkata, ia mengetatkan kriteria berhubung pengambilan dan pengekalan tenaga kerja asing sejak beberapa tahun lepas untuk memperlahankan pertumbuhan tenaga kerja asing dan bagi menggalakkan pertumbuhan berasaskan produktiviti.
 
"Hasilnya, terdapat pekerja dari pelbagai negara lain, bukan saja dari negeri di Malaysia Timur, yang mungkin tidak memenuhi kriteria serta syarat ketat yang ditetapkan untuk mereka bekerja di Singapura," katanya.
 
Laporan akhbar tempatan Isnin lalu mendakwa kerajaan Singapura menolak visa pekerjaan semua lelaki berumur bawah 35 tahun, dari Sabah dan Sarawak secara automatik sejak kebelakangan ini untuk bekerja di negara jiran itu.
 
Perubahan polisi tersebut dipercayai berpunca daripada peningkatan kes jenayah dan pergaduhan yang melibatkan rakyat pribumi Sabah dan Sarawak di republik itu.
 
Insiden terbabit termasuklah melibatkan kes pembunuhan di sekitar kawasan Ang Mo Kio Avenue, Kallang, dan juga Geylang.
 

Ruangan Komen