ISTIMEWA



 Nasional   

Selangor tidak sertai PRU 13 serlah kegusaran Anwar Ibrahim

pada 17-09-2012 09:09 Ditulis Oleh Sharifudin Jamil

Post Pic

ULASAN: Anwar Ibrahim bersetuju dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim  bahawa kerajaan negeri tidak akan dibubarkan meskipun pilihanraya umum diadakan pada November tahun ini.

Anwar bersetuju dengan keputusan kerajaan pimpinan Khalid iaitu ada hampir 500,000 nama pemilih dalam daftar pengundi di Selangor termasuk dalam kategori “meragukan”. Ini boleh melorong kepada penipuan dalam pilihanraya.
 
Oleh itu, jika pilihanraya umum dilangsungkan juga tahun ini, hanya pertandingan pada 22 kerusi parlimen sahaja yang akan berlaku di Selangor. 
 
Keadaan ini amat menarik. Adakah ini bermakna Pakatan Rakyat, khususnya PKR, akan memboikot pertandingan bagi merebut kerusi parlimen di Selangor? 
 
Ini kerana baik Anwar mahupun Khalid tidak berhak menentukan bila pilihanraya bagi kerusi parlimen Selangor harus diadakan. Itu kuasa Perdana Menteri. Bila beliau membubarkan parlimen, kesemua 22 kerusi parlimen di Selangor tetap akan dipertandingkan. 
 
Dalam keadaan itu, pilihan yang ada pada kedua-dua anak Pak Ibrahim itu ialah sama ada meletakkan juga calon Pakatan Rakyat, atau memboikot pilihanraya untuk kerusi parlimen berkenaan. 
 
Namun malang bagi Anwar dan Khalid orang yang akan keluar mengundi adalah termasuk hampir setengah juta pemilih yang mereka ragukan kesahihan kelayakan mereka mengundi. 
 
Sementara itu, pilihanraya peringkat negeri juga wajib diadakan menjelang April tahun depan kerana tempoh hayat kerajaan Selangor sedia akan luput dalam tempoh kira-kira tujuh bulan lagi. 
 
Jika itu berlaku, Suruhanjaya Pillihanraya Malaysia (SPR) menganggarkan kos kira-kira RM47 juta hingga RM50 juta perlu dibelanjakan untuk mengendalikan pilihanraya negeri berasingan.
 
Ini menimbulkan beberapa persoalan:
 
1. Anwar Ibrahim kini lebih percaya kepada pandangan dan kebijaksanaan Khalid Ibrahim dalam proses membuat keputusan politik. Adakah ini caranya Anwar mengaku telah silap menggugurkan Khalid sebagai Ketua Perhubungan PKR Selangor dua tahun lalu?
 
2. Apakah sudah berlaku pada peruntukan kerajaan negeri untuk “membantu” SPR membersihkan daftar pemilih di Selangor? Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa peruntukan RM3 bagi menyemak kelayakan dan kesahihan setiap pengundi disediakan daripada geran Selangorku. Sudahkah proses bantuan itu selesai? Adakah ia mencapai belanja hingga RM 1.5 juta? Berapa banyak nama yang dianggap tidak sah? Atau, adakah projek pembersihan itu gagal? Atau, sebenarnya projek itu tidak dilaksanakan?
 
3. Apa sudah jadi dengan Ketua Perhubungan PKR Selangor, Azmin Ali? Mengapa beliau tidak bersuara dalam persoalan politik di Selangor ini? Bukankah dalam politik, Ketua Perhubungan lebih berwibawa untuk membuat keputusan? 
 
4. Benarkah pandangan umum bahawa Anwar kini kurang mempercayai Azmin Ali? Anwar dengan sewenangnya mengumumkan beliau bersetuju dengan pandangan Khalid yang umum tahu adalah seteru Azmin dalam politik Selangor?
 
5. Mengapa kerabat Pakatan Rakyat lain – DAP dan PAS – membisu berhubung kenyataan Anwar ini? Adakah pengumuman Anwar itu dibuat selepas berunding dengan Teresa Kok dan Dr Rani Othman?
 
6. Pulau Pinang (DAP), Kedah (PAS) dan Kelantan (PAS) tidak pula memberi isyarat tidak akan ikut serta pilihanraya umum ke-13. 
 
7. Apakah ini bermakna bahawa SPR hanya gagal menjalankan tanggungjawab di Selangor? Adakah ini bererti daftar pemilih di negeri-negeri lain adalah bersih dan sahih?
 
8. Jika tidak, apa motif Anwar mengumumkan bahawa hanya Selangor yang tidak akan menyertai pilihanraya umum ke-13 jika ia diadakan tahun ini?  
 
Memang Selangor terlalu berharga pada PKR. Jika ia gagal mempertahankan kekuasaan di Selangor, ia mungkin hilang segala-galanya. Lebih buruk lagi jika sekalipun Pakatan Rakyat menang di Selangor bilangan kerusi PKR lebih kecil daripada PAS dan DAP!
 
Anwar sedar akibatnya jika kemungkinan ini berlaku. Majoriti kerusi di kalangan Pakatan Rakyat di peringkat parlimen belum tentu milik PKR. Jika hilang penguasaan di Selangor, harapan Anwar menjadi perdana menteri suram dan mungkin lebur. 
 
Untuk itu pilihan Anwar ialah supaya pilihanraya umum tidak dilaksanakan tahun ini. Bagaimanapun untuk mengajak kerabat DAP dan PAS supaya menekan Perdana Menteri Najib Razak supaya tidak membubarkan parlimen dan melancarkan pilihanraya umum ke-13, Anwar agak malu alah. 
 
Selama ini beliau yang mengobarkan semangat Pakatan Rakyat supaya mendesak pilihanraya umum diadakan segera. Namun apabila melihat betapa selekehnya politik di Selangor di bawah pentadbiran Khalid, Anwar tiada pilihan selain memainkan semula isu daftar pemilih tidak bersih dan Selangor.
 
Gementar Anwar makin terasa. Sebab itu sudah berulang kali beliau memberi tahu umum akan bersara dari politik jika Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya. 
 
Dengan cara itu Anwar berharap ada sedikit masa lagi memastikan Selangor terus dalam genggaman PKR  dan pada masa yang sama menggertak secara halus DAP dan PAS agar “memaksa” Najib melengahkan pilihanraya umum ke-13! 
 
Maka diatur Konvensyen Pakatan Rakyat ketiga secara besar-besaran pada 3 November nanti.
 
 
 

Ruangan Komen