ISTIMEWA



 Nasional   

Deklarasi Kuching: Usaha PR raih undi rakyat Sabah dan Sarawak

pada 17-09-2012 11:09 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Disebalik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar tiada pihak membangkitkan isu autonomi Sarawak dan Sabah, Pakatan Rakyat (Pakatan) pula berazam untuk mengembalikan kuasa itu kepada rakyat di kedua-dua negeri tersebut.
 
Pakatan yang dianggotai PAS-PKR-DAP melancarkan Deklarasi Kuching tujuh perkara semalam, antara lain menegaskan semula bahawa royalti minyak bagi Sabah dan Sarawak akan dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus dan mengembalikan kuasa autonomi kepada kedua-dua negeri itu.
 
Ia dikeluarkan di Kuching sempena sambutan Hari Malaysia ke-49. Pemerhati dan penganalisis politik melihat ia sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
 
Semalam, kerajan pusat mengadakan sambutan Hari Malaysia ke-49 di Bintulu, yang turut dihadiri Najib.
 
Deklarasi Kuching ditandatangani oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP Lim Kit Siang; Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian; Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Pesuruhjaya Negeri PAS Sarawak Adam Ahid.
 
Dalam deklarasi itu, ketiga-tiga parti komponan tersebut berkata Pakatan akan melunaskan setiap ikrar jika membentuk kerajaan baru di peringkat pusat.
 
Sementara itu Najib dalam ucapannya di Sibu berkata mana-mana pihak tidak perlu membangkitkan isu autonomi Sarawak dan Sabah atau mempertikaikan perjanjian kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia.
 
Beliau berkata kerajaan pusat dan negeri sudah menjalin persefahaman baik dalam hal pembangunan wilayah ini, malah banyak perubahan berlaku selepas Sarawak dan Sabah bergabung dengan Semenanjung untuk membentuk Malaysia. 
 
"Kerajaan pusat akan terus membantu mencapai lebih banyak kemajuan di Sarawak dan bersama kerajaan negeri mempunyai perkongsian dalam segala urusan. 
 
"Kami juga sentiasa prihatin dan memberi perhatian terhadap keperluan dan aspirasi rakyat Sarawak, katanya berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama masyarakat Sibu.
 
Pengerusi BN ini juga turut menyifatkan janji pembangkang untuk membawa perubahan dan lebih banyak autonomi untuk Sabah dan Sarawak ibarat Johnny Come Lately. 
 
"Mereka katanya, sanggup menjanjikan bulan, bintang, malah seluruh cakerawala untuk mendapatkan undi. 
 
"Setahu saya, hampir semua permohonan Sarawak kita tunaikan. Bukan saja dalam bidang pendidikan. Bila Sarawak nak projek Bakun, kita beri, begitu juga pelabuhan Samalaju, pelabuhan Bintulu, nak bina jalan, elektrik, air, semua kita beri peruntukan. 
 
"Tak cukup dengan peruntukan, askar kita pun membantu membuat jalan. Malah, penduduk di rumah panjang pun sudah menikmati taraf hidup jauh lebih baik berbanding dulu, katanya sambil menambah hanya BN mampu memberi pemangsang (kemajuan) dan penglikun (keselamatan) kepada rakyat," kata Najib.
 
Kesemua tujuh perkara yang disenaraikan dalam deklarasi Pakatan ialah:
 
1. Kerjasama Bersekutu: Memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan
 
2. Perwakilan Adil: Mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.
 
3. Kewarganegaraan: Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.
 
4. Pengiktirafan Hak Ke Atas Tanah Adat: Menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.
 
5. Kecekapan dan Kemandiran Sarawak dan Sabah: Mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.
 
6. Keadilan Dalam Isu Minyak: Menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari lima peratus ke 20 peratus
 
7. Pembangunan Sekata: Membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.
 

Ruangan Komen