ISTIMEWA



 Nasional   

MB Khalid setuju terima Langat 2

pada 19-09-2012 06:09 Ditulis Oleh Aidil Syukri Hamzah

Post Pic

 

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dilihat bertukar nada berhubung isu pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan ianya boleh diterima sebagai satu usaha penstrukturan semula air di negeri itu.

Mendakwa kepentingan Langat 2 mampu mengurangkan beban rakyat, Khalid menjelaskan projek tersebut akan dimasukkan di dalam program penyusunan semula air di Selangor.

“Kita pertahankan rakyat, sebab itulah kita buat penyusunan semula itu sebab rakyat Selangor tidak akan mendapat manfaat daripada penswastaan ini.

“Kita sudah buat kenyataan jelas, walaupun Langat 2 sudah terlajak, kita boleh terima ia sebagai satu usaha penstrukturan semula air. Jadi ia dimasukkan dalam program penyusunan semula air sebab kerajaan negeri mahu mengambil kira supaya kos-kos itu tidak membebankan rakyat Selangor dari segi tarif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco negeri Selangor hari ini.

Tambah Khalid, pelaksanaan Langat 2 bergantung kepada kesediaan kerajaan persekutuan untuk menerima cadangan tersebut sebagai pemilikan aset kerajaan negeri.

“Pada saya, isu samada Langat 2 perlu diteruskan atau tidak terpulang kepada persetujuan kerajaan persekutuan untuk menentukan bahawa penyusunan semula air dijalankan serentak dengan penerimaan Langat 2 sebagai salah satu pemilikan aset kerajaan negeri.

“Kerajaan pusat dan Selangor adalah kerajaan yang mesti tertib dengan undang-undang dan tanggungjawab. Jika kerajaan persekutuan tidak mengendahkan kerajaan negeri, kerajaan negeri juga boleh tidak mengendahkan kerajaan persekutuan,” tegas beliau.

Selain itu, Khalid turut memberitahu bahawa kerajaan negeri telah memaklumkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan negeri kecewa dengan sikap kerajaan pusat yang tidak pernah menyokong dan membantu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi walaupun terdapat peruntukan  di bawah Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

“Saya juga menyatakan keengganan YB Menteri dan kementeriannya untuk memulakan rundingan menunjukkan kerajaan pusat memang sengaja mahu mengingkari tenggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA.

“Sehubungan itu, saya memaklumkan sekiranya YB Menteri dan kementeriannya tidak memberi maklum balas yang bertentangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh dimaklumkan, saya beranggapan pihak kementerian tidak mempunyai sebarang bantahan untuk saya meneruskan penstrukturan ini,” katanya.


Ruangan Komen