ISTIMEWA



 Nasional   

Nasruddin: Kami "dijemput" lebih awal untuk pertahan Nabi

pada 19-09-2012 07:09 Ditulis Oleh Aidil Syukri Hamzah

Post Pic

 

SHAH ALAM: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menempelak tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan keputusan sayap parti itu untuk mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat Jumaat ini, serentak dengan yang dirancang oleh Pemuda Umno.

Menurut Nasrudin, beliau tidak melihat wujud perkara yang boleh dipolemikkan dan menegaskan ia tidak sepatutnya dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu memandangkan ianya melibatkan penghinaan kepada umat Islam.

Katanya lagi, isu sama ada Pemuda PAS dijemput oleh Pemuda Umno juga tidak wujud memandangkan pihaknya lebih awal membuat pengumuman untuk berdemo iaitu sebelum jemputan diterima.

“Kami telah umumkan kepada media program itu sejak Rabu 12 sept yang lalu. So (Jadi) apa polemiknya ?

“Tiba-tiba Isnin lepas (17 Sept) saya dimaklumkan bahawa Pemuda Umno ada mengajak Pemuda PAS untuk turun demo sekali. Itupun saya hanya tahu melalui media. Terima kasihlah jemput kami. Kalau tiada jemputan pun, kami memang akan turun pada 21 September ini, kerana kami terlebih awal telah di"jemput" oleh Nabi kami saw untuk turun menunjuk sikap dan mempertahankan kemuliaan Nabi kami saw. yang dihina sedemikian rupa oleh musuh-musuh Islam.

“Kalau 17 September baru nak jemput kami, memang terlalu lambat lah sebab kami dah setup (membuat perancangan) segalanya lebih awal,” katanya.

Tindakan mempolemikkan perkara ini menurut Nasrudin menggambarkan cubaan pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan untuk kepentingan politik mereka.

“Saya pun hairan kenapa isu ini dipolemikkan sehingga mengalih pandangan umum daripada isu sebenar atau mereka sengaja mahu mencari ‘political millage’ dan nak tunjuk hero kepada masyarakat ?

“Kalau nak demo turun saja lah, tidak perlu buat bising. Apakah mereka bergantung kepada keputusan Pemuda PAS baru nak turun demo? Ini bukan isu politik antara parti Umno dan PAS, ini isu penghinaan ke atas Nabi saw,” tegas beliau.

Mengulas mengenai demonstrasi aman yang akan dianjurkan Jumaat ini, Nasrudin menjelaskan ia akan bermula selepas solat Jumaat dan peserta akan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat daripada Masjid Tabung Haji.

Demonstrasi itu katanya bertujuan mengecam penerbitan filem Innocence of Muslims oleh karyawan Amerika Syarikat yang didakwa menghina Nabi Muhammad sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.


Ruangan Komen