ISTIMEWA



 Nasional   

Pemuda Umno dan PAS adakan demo berasingan

pada 20-09-2012 05:09 Ditulis Oleh Ahmad Fadzly Esa

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan mengadakan perhimpunan secara aman bagi membantah penerbitan filem anti Islam, 'Innocence of Muslims' di Masjid Jamek, Kampung Baru pada Jumaat ini.
 
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perhimpunan itu akan turut disertai lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas solat Jumaat di majis berkenaan.
 
Bagaimanapun Khairy berkata, pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak berhimpun bersama-sama Pemuda PAS di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) atas sebab "keselamatan dan bimbang insiden yang tidak diingini berlaku". 
 
"Saya (telah) berbincang panjang lebar dengan Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi semalam, Pemuda UMNO bersolidariti dengan Pemuda PAS yang akan himpun di kedutaan AS esok.
 
"Namun setelah (Nasruddin) dan saya berbincang soal keselamatan dan kelancaran majlis (himpunan), kami setuju buat himpunan di lokasi berlainan," katanya di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
 
Menurut Khairy, walaupun kedua-dua pihak memutuskan membuat penganjuran berasingan namun niat dan hasrat mereka tetap sama untuk mengecam filem yang kontroversi itu, sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan kedua-dua kumpulan "tidak bersatu" berhubung perkara ini.
 
Khairy menambah perhimpunan mereka juga bertujuan untuk mengecam penerbitan kartun dalam sebuah majalah di Perancis yang turut menghina junjungan besar Muhammad SAW baru-baru ini.
 
"(Kami) membantah apa sahaja usaha menghina agama Islam dan atau mana-mana agama di mana himpunan pada hari esok bertujuan menjaga sensitiviti agama Islam dan juga semua agama.
 
"Kami melahirkan pandangan kebebasan bersuara itu perlu ada had, tanggungjawab, penghormatan terhadap agama kaum dan sensitiviti manusia," tegasnya.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Pemuda Umno akan menganjurkan majlis Malam Mencintai Rasul minggu depan.
 
Katanya, ini kerana beliau tidak mahu usaha memartabatkan junjungan besar Muhammad SAW ini akan berhenti setakat demonstrasi itu sahaja. 
 
"Kita ingin membuktikan bahawa agama Islam adalah agama aman, tidak keterlaluan dan ganas (dalam) kita bertindakbalas terhadap filem ini dan membuktikan respons kita bersifat lebih positif. 
 
"Insyallah, saya juga akan menjemput Pemuda PAS untuk bersama dengan kami dalam keadaan yang lebih tenteram daripada esok, itulah cadangan kami," jelasnya.
 
Setakat ini lebih 15 NGO dan parti politik komponen BN akan turut serta dalam perhimpunan yang dijangkakan bakal disertai lebih 5,000 umat Islam itu selepas solat Jumaat esok.
 
Antara NGO yang terlibat kumpulan pendesak Melayu PERKASA, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Belia 4B dan beberapa pertubuhan silat. Wakil mereka hadir dalam sidang media hari ini.
 
Khairy turut mengalu-alukan penglibatan bukan Islam dari agama yang lain bersama-sama dalam perhimpunan itu sebagai usaha menyeru bahawa semua agama perlu dihormati.
 

Ruangan Komen