ISTIMEWA



 Nasional   

PKR persoal arahan Datuk Bandar KL robohkan kuil

pada 09-10-2012 02:10 Ditulis Oleh Farah Eliana Mohd Adnand

Post Pic

 

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menempelak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib kerana didakwa telah bersekongkol dengan pemaju Menara Hup Seng Sdn Bhd untuk merobohkan kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P. Ramlee.
 
Dakwaan tersebut dibuat ekoran notis yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) untuk merobohkan kuil terbabit di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur yang didakwa berusia 100 tahun itu.
 
Malah menurut Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa, DBKL mengeluarkan notis 30 hari itu mengikut Seksyen 72(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 supaya mengosongkan dan merobohkan kuil tersebut kerana ia telah didirikan tanpa kebenaran bertulis daripada Datuk Bandar. 
 
"Kuil ini telah wujud dalam bentuk asal (kecil) pada tahun 1911. Dalam tahun 70-an ia dibesarkan. Kuil itu menduduki lebih kurang lima ribu kaki persegi.
 
"Masalah mula timbul apabila pemaju Menara Hap Seng Sdn Bhd buat pembangunan besar di tanah sebelah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
 
Notis yang diedarkan kepada petugas media bertarikh 25 September 2012 itu ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Rekabentuk Bandar dan Bangunan DBKL Juminan Samad.
 
Dalam notis itu Juminan berkata, pemeriksaan ke atas kuil tersebut pada 12 September lalu mendapati ia dibina tanpa mendapat kelulusan dan kebenaran bertulis daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
 
Notis itu juga antara lain mengarahkan pihak kuil meroboh tembok bata dan pagar zink yang dibina tanpa izin serta memindahkan sisa runtuhan daripada tapak tersebut.
 
Dalam pada itu, menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah, Ahmad Phesal sepatutnya menyediakan tapak alternatif sebelum mengeluarkan notis tersebut.
 
"Selalunya (kerja-kerja merobohkan kuil ini)dapat jaminan Menteri Wilayah dan diberi tapak alternatif. Kita minta (Datuk Bandar) ambil iktibar, jangan kusut masalah.
 
"Kita tidak menolak (pembangunan) tetapi perlu ambil kira kebajikan penduduk, masyarakat Malaysia," katanya.
 
Sementara itu dalam perkembangan lain, bekas ketua penerangan Hindraf S Jayathas hari ini menyertai PKR secara rasmi.
 
Katanya, tindakan tersebut dibuat untuk meneruskan perjuangan dalam isu melibatkan masyarakat India.
 
Malah, Jayathas mendakwa beliau tidak menghadapi apa-apa masalah dalam Hindraf dan penyertaannya dalam PKR adalah untuk "menyingkirkan BN dari Putrajaya",
 
"Saya buat keputusan untuk sertai PKR untuk membantu Pakatan untuk menyelesaikan undi daripada masyarakat India," katanya.
 
Borang penyertaan Jayathas itu diterima naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar di ibu pejabat PKR hari ini.
 
Turut hadir Naib Presiden N Surendren dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Khalid Jaafar.
 
Jayathas berkata sebelum ini beliau pernah menyertai Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 2000 sebelum aktif dalam Hindraf.
 
Beliau pernah menjadi calon PKR pada 2004 di kawasan DUN Merlimau.
 
 
 
 
 

Ruangan Komen