ISTIMEWA



 Nasional   

Saya tidak mahu jadi MB Kelantan - Husam

pada 12-10-2012 12:10 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa tidak berminat menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar, sebaliknya mahu menjadi senator sahaja.
 
Dalam temubual bersama AntaraPos baru-baru ini, Naib Presiden PAS itu juga mahukan parti itu menampilkan calon-calon Menteri Besar yang berketrampilan supaya tidak tercorot berbanding DAP.
 
Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan  bagaimanapun menolak dirinya sebagai calon menjadi Menteri Besar apabila Nik Aziz berundur. 
 
Beliau menegaskan perjuangannya adalah untuk Islam dan bukan mengejar jawatan.
 
"Saya ni sebenarnya lebih suka jadi senator sahaja, kalau ada jawatan kosong senator esok boleh cadang lantik saya. Senator lagi bagus tak payah jaga DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen.
 
"Sebenarnya apa yang ada dalam hati seseorang, orang lain tak boleh tahukan? Jadi macam mana orang boleh tahu apa yang ada dalam hati saya? Saya berjuang untuk melihat Islam secara komprehensif, mendapat tempat di Malaysia, Islam yang progresif, Islam yang berkaitan dengan tata urus," kata Husam.
 
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan Kelantan ini, calon menteri besar PAS mestilah seorang yang berketrampilan dalam semua aspek termasuk prestasi perkhidmatan.
 
"Jadi, calon menteri besar bukan sahaja di Kelantan...pada hemat saya calon menteri besar PAS negeri-negeri lain juga mestilah berketrampilan. 
 
"Nama orang itu tidak perlu kita sebutkan tapi ciri-ciri itu  kita sebutkan, berketrampilan dari segi ilmu, dari segi idea, dari segi 'track record', dari segi prestasi perkhidmatan dan lain-lain," ujarnya.
 
Ini kerana jelas Husam, pada masa depan kerajaan yang akan dipimpin akan lebih mencabar berbanding sekarang.
 
"Pada masa depan (mengurus)  kerajaan lebih mencabar. Kalau DAP boleh tampilkan tokoh-tokoh yang berketrampilan...kalau PAS ketinggalan nanti PAS dilihat lebih corot, jadi saya rasa ciri itu yang lebih penting," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu.
 

Ruangan Komen