ISTIMEWA



 Nasional   

Bas Merdeka Rakyat dibiayai oleh saya- Khalid

pada 19-11-2012 01:11 Ditulis Oleh Siti Sofia Md Nasir

Post Pic

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kos pembelian bas yang digunakan PKR pada program Jelajah Merdeka Rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) adalah dibiayai sepenuhnya oleh beliau tanpa dana kerajaan negeri.

Malah, Khalid berkata beliau membayar sebanyak RM10,833 sebagai ansuran bulanan bas terbabit yang bernilai hampir RM650,000 itu melalui kaedah sewa beli. 
 
"Bas untuk kempen pilihan raya ini pembeliannya dibuat secara persendirian.
 
"Saya turut galakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kajian dan saya memberikan dokumen berkaitan agar mereka dapat melihat tatakelola baik kerajaan negeri dari segi pengurusan kewangan negeri dan persendirian," katanya ketika menjawab soalan ketua pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) pada hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini hari ini.
 
Mohamad Satim bertanyakan samada kerajaan negeri melakukan proses audit bagi memastikan transaksi pembelian bas tersebut telus dan bertanggungjawab.
 
Bas yang digunakan bagi kempen Jalajah Rakyat Pakatan itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila beberapa pihak mempersoalkan pembelian bas mewah dua tingkat tersebut.
 
Bagaimanapun, Khalid menangkis dakwaan tersebut dengan menyatakan kos sewa bas berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh beliau.  
 
Bas yang didaftarkan atas nama Khalid itu boleh membawa sehingga 19 penumpang pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan pentas ceramah mini beserta sistem audio yang canggih.
 

Ruangan Komen