ISTIMEWA



 Nasional   

Mahkamah tetap 18-19 Dis kes saman Husam Musa

pada 14-11-2012 04:11 

Post Pic


KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 hingga 19 Dis ini sebagai tarikh perbicaraan kes saman fitnah RM5 juta oleh Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa terhadap blogger Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz ekoran penyiaran artikel berunsur fitnah terhadap plaintif.
    
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Mariana Yahya di dalam kamarnya hari ini, bagi proses pengurusan akhir kes tersebut.
    
Mariana turut mengarahkan kedua-dua pihak iaitu peguam plaintif, Hisham Fauzi dan peguam Kickdefella, Datuk Jaharberdeen Mohamed Yunoos menyelesaikan segala urusan berkaitan dokumen yang diperlukan sebelum perbicaraan berlangsung.
    
Jaharberdeen ketika ditemui pemberita selepas itu berkata pihaknya akan mensapina beberapa pihak yang akan dijadikan saksi dalam kes berkenaan minggu depan.
    
"Antara saksi yang akan dipanggil ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalannya, Datuk Ahmad Yakub dan Pengerusi Jawatankuasa
Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan," katanya.

Pada 19 Sept tahun lalu,  Husam selaku plaintif memfailkan saman terhadap Syed Azidi yang dinamakan sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi RM5 juta ekoran penyiaran artikel yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau.
    
Artikel tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat', 'Sebelum kita lupa Normala Sudirman' dan 'Husam itu pembohong' yang ketiga tiganya disiarkan melalui blog defendan, kickdefella.wordpress.com antara Januari hingga Julai tahun lalu.
    
Defendan pada 9 Oktober tahun yang sama pula memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
    
Bagaimanapun pada 17 April lalu, Hakim Besar Malaya mengarahkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Kota
Baharu, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan.


Ruangan Komen