ISTIMEWA



 Nasional   

Nik Aziz mahu ucapan Presiden dikhutbah Jumaat

pada 17-11-2012 11:11 Ditulis Oleh Aidil Syukri Hamzah

Post Pic

KOTA BHARU: Tiada perbezaan di antara khutbah Jumaat dan ucapan politik, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru, beliau mencadangkan agar ucapan dasar presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-58 dijadikan khutbah Jumaat.

"Khutbah Jumaat dan ucapan politik sama sahaja. Saya mencadangkan supaya ucapan dasar presiden, Abdul Hadi Awang dijadikan khutbah Jumaat.

“Kita pakat-pakat pilih ayat, buat khutbah Jumaat..," kata Menteri Besar Kelantan itu di dalam ucapannya pada 'Himpunan Kebangkitan Rakyat' di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

Merujuk kepada pemerintahan Nabi Muhammad SAW, Nik Aziz menjelaskan bahawa syiar Islam telah terbukti mampu berkembang melalui politik.

Selain itu, beliau berharap agar umat Islam sendiri lebih menghayati agama Islam supaya secara tidak langsung golongan bukan Islam akan mendapat gambaran sebenar mengenai Islam.

"Islam tidak boleh bergerak tanpa politik, sebab tu Nabi tinggalkan Mekah untuk ke Madinah.

"Mudah-mudahan orang Islam kembali kepada Islam, dan orang bukan Islam sedar, apa itu Islam," ujar beliau di hadapan hampir 30,000 penyokong.

Pemimpin-pemimpin lain yang hadir malam tadi adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada September lalu, Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dikejutkan apabila mengeluarkan kenyataan membenarkan khatib membaca khutbah Jumaat berunsur politik selagi ia tidak lari dari landasan ajaran Islam.

Pengarahnya, Datuk Noh Dahya berkata, khatib dibenarkan berbuat demikian selagi ia tidak tersasar dari agama Islam.

Walau bagaimanapun jelas beliau, sekiranya imam yang dilantik membuat kesalahan membaca teks khutbar berunsur politik melampau, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Malah turut dikesan beberapa masjid di negeri itu turut mengambil pendekatan sama menyampaikan khutbah Jumaat yang memuatkan unsur politik.


Ruangan Komen