ISTIMEWA



 Nasional   

DAP mahu bukti pasangan berkelakuan tidak sopan

pada 13-12-2012 04:12 Ditulis Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

Post Pic

 

SHAH ALAM: Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook mahu siasatan lebih lanjut dibuat bagi membuktikan bahawa dua pasangan bukan Islam yang disaman oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPK-BRI) benar-benar berkelakuan tidak sopan seperti yang didakwa.
 
Anthony berkata beliau tidak mempersoalkan undang-undang yang digunapakai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu tetapi mahu bukti kukuh yang mensabitkan kesalahan, demi keadilan kepada pasangan berkenaan.
 
"Saya rasa isu saman pasangan bukan Islam perlu disiasat lebih lanjut, sama ada betul ke pasangan itu melakukan sesuatu yang keterlaluan. Kalau setakat mereka duduk berdua-duaan, saya rasa mereka tidak patut dikenakan tindakan," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Ketika ditanya adakah undang-undang PBT patut diasingkan antara orang Islam dan bukan Islam, Anthony berkata undang-undang itu tidak harus dipisahkan kerana ia sekadar undang-undang kecil.
 
Justeru katanya, beliau tidak kisah bukan Islam turut dikenakan tindakan jika berkelakuan 'tidak senonoh' di khalayak.
 
"Akur (pada undang-undang PBT) bukan isunya di sini tetapi bagaimana dikuatkuasakan. Ia satu definasi yang kabur. Apakah yang dikatakan tidak bermoral? Yang itu kena siasat, apakah bukti yang mengatakan mereka melakukan perbuatan tidak bermoral?," soalnya.  
 
Beliau yang juga merupakan bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP menegaskan undang-undang Islam tidak sama sekali patut dikenakan ke atas orang bukan Islam.
 
"Kita bukan pertikaikan undang-undang PBT itu, tetapi jika undang-undang Islam dikenakan kepada bukan Islam, itu tidak patut. Tapi jika guna undang-undang PBT, kena jelaskanlah bagaimana mereka mentafsirkan undang-undang itu," katanya lagi.
 
Sebelum ini, Exco Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan dua pasangan bukan Islam yang dikenakan tindakan baru-baru ini disaman dibawah Undang-undang Kecil Taman.
 
Beliau juga memberitahu PBT Kelantan berhak menyaman mana-mana orang bukan Islam yang berkelakuan tidak sopan di khalayak umum.

Ruangan Komen