ISTIMEWA



 Nasional   

RCI Projek IC: Azmin kalut ?

pada 17-01-2013 07:01 

Post Pic

 

SHAH ALAM: Dakwaan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali bahawa ada cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan siasatan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung isu pendatang tanpa izin Sabah dengan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik sekali.
 
Belum pun ada saksi tampil memberikan keterangan sebegitu, Azmin sudah membuat andaian Anwar akan diheret dalam siasatan bagaimana ribuan pendatang asing menerima kewarganegaraan di Sabah pada awal tahun 90an.
 
Mungkin Azmin cemas kerana mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sudah pun dikaitkan dengan Projek IC menerusi keterangan saksi yang menuding jari kepada bekas Setiausaha Politik Mahathir, Aziz Shamsudin dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.
 
Anwar adalah timbalan kepada Mahathir ketika itu, baik di dalam Umno mahupun kerajaan. Justeru rasa cemas Azmin yang ketika itu pegawai khas kepada Anwar boleh difahami.
 
Ini kerana rakyat tentunya akan menilai sejauh mana kebenaran kenyataan Anwar bahawa beliau tidak terbabit sama sekali dalam Projek IC.
 
Menurut Anwar, Projek IC tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno mahupun mesyuarat Kabinet. Justeru menurut Anwar, beliau tidak terlibat.
 
Kesahihan “pengakuan” Anwar itu akan diuji pada hari-hari yang akan datang apabila lebih banyak pihak tampil memberikan keterangan pada RCI berkenaan.
 
Namun Azmin mungkin terpanggil menafikan pembabitan Anwar daripada awal kerana beberapa persoalan yang sedia berlegar mengenai hubung kait bosnya dengan Projek IC.
 
Apa yang nyata ialah Anwar memegang peranan yang penting dalam membawa Umno ke Sabah. Beliau juga berperanan penting dalam mengatur strategi pilihan raya negeri Sabah yang menyaksikan PBS hampir tewas kepada BN pada tahun 1994.
 
Kerajaan negeri PBS tidak dapat bertahan lama selepas itu apabila beberapa wakil rakyat parti itu lompat menyertai BN. Peranan Anwar dalam semua ini terserlah dengan kedudukan beliau sebagai orang nombor kedua kepada Mahathir.
 
Sungguhpun “pusingan pertama” RCI mengenai projek IC mungkin ditafsir sebagai membawa aib kepada Mahathir, malah Umno sendiri, ia mencerminkan iltizam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.
 
Walaupun dakwaan-dakwaan mengenai Projek IC berusia lebih 20 tahun, ia membelenggui politik dan sosio-ekonomi Sabah hingga ke hari ini.
 
RCI yang di cadangkan oleh Najib akan memastikan mana-mana kepincangan yang mencabul pemberian dokumen kewarganegaraan tidak akan berulang.
 
Dalam mencadangkan penubuhan RCI, Najib menunjukkan beliau lebih memetingkan Sabah dan rakyatnya daripada dipengaruhi oleh natijah RCI itu ke atas PRU ke 13.
 
Kepimpinn berpinsip ini adalah sesuatu yang sengaja dilupai oleh Anwar dan pakatan pembangkangnya yang bingkas menggunakan segala pendedahan dalam RCI sebagai modal politik.

Ruangan Komen