ISTIMEWA



 Nasional   

Haram undi calon Islam Umno - ADUN Gaal

pada 01-02-2013 04:02 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal dari PAS, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad menggesa PKR meletakkan calon Islam sekiranya menentang Umno pada pilihan raya umum ke 13.
 
Beliau berkata jika PKR bertegas meletakkan calon bukan Islam, maka pengundi harus memilih calon Umno. 
 
"Jika calon PKR bukan Islam, adalah baik untuk pengundi mengundi calon Umno bagi menjaga kepentingan Islam," katanya kepada Antarapos.
 
Nik Mazlan mendakwa sebuah portal berita memutarbelitkan kenyatannya bersabit isu itu. 
 
Beliau menegaskan apa yang disebutnya ialah mendesak PKR meletakkan calon Islam jika berhadapan dengan calon Umno. 
 
Tambah Dr Nik Mazian, dalam apa jua keadaan haram bagi pengundi Islam memilih calon Umno sekiranya lawannya adalah calon PAS.
 
Merujuk kepada laporan The Mole, Nik Mazlan berkata :"Apa soalan sebenarnya kepada saya ? Soalannya adakah haram undi calon Umno, saya jawab haram kalau calon PAS lawan calon Umno sebab kita orang Islam kena pilih PAS sebab parti Islam...Islam lawan sekular, jadi Islam kena pilih PAS.
 
"Kalau calon Umno lawan calon PKR yang bukan beragama Islam, ia akan memberi perasaan dilema kepada pengundi Islam...kita sebagai orang Islam perlu pilih pemimpin Islam, kita perlu pegang pegangan ini," katanya kepada Antarapos.
 
Justeru Dr Nik Mazian mencadangkan semua parti Pakatan Rakyat agar meletakkan calon beragama Islam di kawasan-kawasan yang majoritinya pengundi Islam.
 
"...yang mana perlu dipertahankan? Ada calon PKR bukan Islam lawan calon Umno...sebab itu kalau boleh biar calon Islam lawan calon Islam dan calon bukan Islam lawan calon bukan Islam. Kita perlu buat pilihan, pilihan calon ikut majoriti pengundi di kawasan bertanding.
 
"Mudah...tapi kalau PAS lawan Umno, haram pilih Umno...pilih PAS sebab kita perjuang Islam," katanya.
 
Dr Nik Mazian yang dipetik portal Mole.my sebagai berkata bahawa adalah lebih baik mengundi calon beragama Islam bagi memastikan prinsip Islam dipertahankan.
 
"Dalam memilih antara calon Umno beragama Islam dan calon PKR, pengundi mesti menilai calon mana adalah lebih baik.
 
"Jika calon PKR bukan Islam, adalah baik untuk pengundi mengundi calon Umno bagi menjaga kepentingan Islam," katanya.
 
Selain itu katanya umat Islam di Malaysia mempunyai dua pilihan kepimpinan iaitu tadbir urus secara Islam dan bukan Islam.
 
Namun jelas beliau adalah penting bagi mereka untuk memilih parti yang berjuang untuk Islam.
 
Bagaimanapun Dr Nik Mazian menegaskan bahawa antara calon Umno dan PAS, adalah wajib bagi pengundi muslim untuk mengundi PAS.
 
"Umat Islam di negara ini mempunyai pilihan yang lebih baik bagi kerajaan yang berpegang kepada prinsip Islam.
 
"Hanya PAS yang menegakkan Islam dalam perjuangan, tidak seperti Umno dan Barisan Nasional. Ia adalah pilihan yang jelas bagi umat Islam," katanya.

Ruangan Komen